PEMAIN Serbia, Novak Djokovic menghempas raketnya ke jaring selepas tewas perebutan pingat gangsa tenis perseorangan lelaki di Tokyo 2020, hari ini. FOTO AFP
PEMAIN Serbia, Novak Djokovic menghempas raketnya ke jaring selepas tewas perebutan pingat gangsa tenis perseorangan lelaki di Tokyo 2020, hari ini. FOTO AFP
AFP

Tokyo: Novak Djokovic mengamuk dengan membaling raket ke tempat duduk penonton dan menghempas satu lagi ke jaring ketika tewas kepada Pablo Carreno Busta dalam perlawanan perebutan pingat gangsa tenis perseorangan lelaki di Tokyo 2020, hari ini.

Juara acara utama sebanyak 20 kali itu yang gagal memburu Grand Slam Emas selepas tewas kepada Alexander Zverev di separuh akhir, semalam, kalah 6-4, 6-7 (6/8), 6-3 di tangan pemain Sepanyol, Carreno Busta, hari ini.

Djokovic dan gandingan beregu campurannya, Nina Stojanovic menarik diri dalam perlawanan perebutan pingat gangsa menentang pemain Australia, Ashleigh Barty dan John Peers kerana kecederaan bahu.

Ia bermakna, pemain nombor satu dunia itu pulang dari Tokyo 2020 tanpa sebarang medal.

Ia adalah kali pertama Djokovic tewas dua perlawanan perseorangan lelaki berturut-turut selepas kalah kepada Dominic Thiem dan Roger Federer ketika final Jelajah ATP 2019.

Perlawanan dengan Carreno Busta berlangsung selama dua jam dan 47 minit di bawah cuaca panas dan kedua-duanya terdesak untuk memenangi pingat.

Djokovic masih memburu kejuaraan acara Grand Slam terakhir tahun ini iaitu Terbuka Amerika Syarikat (AS), bulan depan.

Pemain berusia 34 tahun itu mengakui tidak pasti mengenai tahap kecergasannya untuk beraksi di Terbuka AS selepas mengalami kecederaan bahu.

Dia berpeluang muncul lelaki pertama menang empat gelaran Grand Slam sejak Rod Laver melakukannya pada 1969, apabila Terbuka AS bermula 30 Ogos ini.

Dia mengakui penyertaan di Jepun benar-benar memberi kesan kepadanya dan berharap akan cergas sepenuhnya untuk bertarung di Flushing Meadows.

"Keadaan fizikal ini diharapkan tidak memberi masalah kepada saya di Terbuka AS, tetapi saya tidak pasti mengenai keadaan itu sekarang," katanya.

"Tetapi saya tidak menyesal memberikan yang terbaik kerana apabila bermain untuk negara di sini, anda sepatutnya berjuang."

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Julai 2021 @ 9:02 PM