GANDINGAN Novak Djokovic (kiri) dan Nina Stojanovic tewas di separuh akhir tenis beregu campuran, hari ini. FOTO EPA
GANDINGAN Novak Djokovic (kiri) dan Nina Stojanovic tewas di separuh akhir tenis beregu campuran, hari ini. FOTO EPA
AFP

Tokyo: Impian Novak Djokovic untuk menang pingat emas Sukan Olimpik terpaksa ditangguhkan tiga tahun lagi apabila dia mengalami kekalahan kali kedua di separuh akhir, hari ini, dalam acara tenis beregu campuran bersama Nina Stojanovic.

Gandingan Serbia itu tewas a 7-6 (7/4), 7-5 kepada pasangan Jawatankuasa Olimpik Russia (ROC), Elena Vesnina dan Aslan Karatsev.

Sebelum itu, harapan Djokovic yang juga pemain nombor satu dunia memenangi Grand Slam Emas musnah apabila tewas separuh akhir perseorangan lelaki di tangan Alexander Zverev.

Djokovic memerlukan pingat emas Sukan Olimpik dan gelaran Terbuka Amerika Syarikat (AS) selepas menang tiga gelaran Grand Slam awal tahun ini.

Karatsev dan Vesnina akan berdepan rakan senegara mereka, Anastasia Pavlyuchenkova dan Andrey Rublev di final Ahad ini, selepas mereka menewaskan gandingan pemain wanita nombor satu dunia, Ashleigh Barty dan John Peers dalam satu lagi separuh akhir.

Pertarungan sengit berlangsung sejak set pertama yang dimenangi Vesnina dan Karatsev, tetapi Djokovic dan Stojanovic dijangka mengheret perlawanan ke set penentuan selepas mendahului 4-2 pada set kedua.

Djokovic, 34, yang menang gangsa pada 2008, akan turun di dua perlawanan merebut gangsa pada Sabtu ini.

Dia akan menentang Pablo Carreno Busta dalam acara perseorangan lelaki sebelum bersama Nina menentang gandingan Australia, Ashleigh dan Peers.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Julai 2021 @ 9:34 PM