JIINQ En aktif sertai pertandingan ketika menuntut di Amerika.
JIINQ En aktif sertai pertandingan ketika menuntut di Amerika.
Ajitpal Singh


Kuala Lumpur: Phee Jinq En berharap dapat meneruskan penguasaan Malaysia dalam acara 100m kuak dada wanita sejak 2009 apabila bertekad memecahkan rekod Sukan SEA apabila temasya dwitahunan itu bermula nanti.

Atlet berusia 20 tahun itu kembali mendapatkan keyakinannya sejak kembali ke Malaysia tiga bulan lalu selepas melengkapkan tahun pertama pengajiannya di Amerika Syarikat.

Perenang itu melanjutkan pelajaran di Universiti Purdue, Indiana selepas bertanding di Olimpik Rio tahun lalu.

Jadual latihannya di Indiana juga sedikit terjejas kerana dia bertanding secara aktif dalam kejohanan kolej di Amerika menggunakan kolam jarak pendek (25 meter).

“Kecergasan saya semakin baik dan mula menyesuaikan diri dengan kolam latihan 50m. Saya perlu bekerja keras selepas menyertai pasukan kebangsaan.

“Saya harap mampu memberi cabaran pada Sukan SEA,” kata Jinq En.

Jinq En akan mempertahankan pingat emas 100m kuak dada, tetapi juga memberi perhatian terhadap acara 50m selepas menduduki tempat kedua di belakang perenang Singapura Roanne Ho dua tahun lalu.

Rekod Sukan SEA ketika ini dipegang bekas perenang Siow Yi Ting dengan catatan 1:09.82 dalam acara 100m kuak dada di Vientiane 2009 sebelum mempertahankannya di Palembang dua tahun kemudian.

Pada 2013 di Myanmar, Christina Loh menjuarai acara itu disusuli Jinq En pada 2015 di Singapura.

Jing En turut memegang rekod kebangsaan dalam acara 50m dan 100m kuak dada.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Ogos 2017 @ 4:25 AM