PEMAIN nombor satu dunia, Novak Djokovic menewaskan pemain Sepanyol, Alejandro Davidovich Fokina di pusingan ketiga tenis perseorang lelaki Tokyo 2020. FOTO AFP
PEMAIN nombor satu dunia, Novak Djokovic menewaskan pemain Sepanyol, Alejandro Davidovich Fokina di pusingan ketiga tenis perseorang lelaki Tokyo 2020. FOTO AFP
AFP

Tokyo: Novak Djokovic menempah tempat ke suku akhir acara tenis perseorangan lelaki di Tokyo 2020 untuk menentang pemain Jepun, Kei Nishikori.

Manakala pencabar pingat emas, Daniil Medvedev berdepan masalah cuaca panas dan meminta pengadil bertanggungjawab sekiranya dia meninggal dunia.

Djokovic yang juga pemain nombor satu dunia meneruskan impian memenangi Grand Slam Emas dengan menewaskan pemain ranking ke-34, Alejandro Davidovich Fokina dari Sepanyol, 6-3, 6-1 di pusingan ketiga, hari ini untuk meneruskan rentak kemenangan kepada 21 perlawanan.

Pemain Serbia itu yang menang pingat gangsa acara perseorangan pada 2008 akan turut bergandingan dengan Nina Stojanovic dalam acara beregu campuran, hari ini.

Medvedev berada di landasan tepat untuk menentang Djokovic di final perseorangan lelaki apabila pemain Russia itu yang juga pilihan kedua menewaskan pemain Italy, Fabio Fognini 6-2, 3-6, 6-2.

Tetapi Medvedev yang dua kali muncul naib juara Grand Slam dan menggesa penganjur melewatkan masa permainan selepas aksi pertama, sekali lagi berdepan masalah cuaca panas.

"Pada set pertama lagi, saya tidak selesa ketika bernafas. Saya tidak mampu bernafas dengan baik," kata Medvedev yang meminta time out perubatan dan dua kali dirawat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Julai 2021 @ 7:00 PM