OSAKA menarik diri kejohanan Wimbledon. FOTO AFP
OSAKA menarik diri kejohanan Wimbledon. FOTO AFP
AFP

Los Angeles: Bintang tennis Jepun, Naomi Osaka menarik diri kejohanan Wimbledon seminggu selepas pemain nombor dua dunia itu membuat keputusan sama di Terbuka Perancis kerana bergelut dengan tekanan berpanjangan.

"Naomi tidak akan beraksi di Wimbledon pada tahun ini," kata ejen Osaka, Stuart Duguid menerusi emel ke AFP.

"Dia mahu meluangkan masanya bersama rakan dan keluarga. Dia akan bersedia untuk Olimpik dan tidak sabar beraksi di depan penyokong sendiri."

Rabu lalu, pihak penganjur Wimbledon berkata, bintang berusia 23 tahun dan pemenang empat Grand Slam itu dijangka akan beraksi di kejohanan berprestij itu yang dijadual bermula 28 Jun.

"Setakat ini dia namanya masih menyertai kejohanan ini dan kami tidak menerima sebarang pengesahan yang dia tidak akan beraksi," kata Ketua Eksekutif All England Club, Sally Bolton.

Osaka menjadi tumpuan utama sejak menarik diri daripada Terbuka Perancis.

Dia dikenakan denda AS$15,000 (RM62,000) dan diancam untuk dibatalkan penyertaan menyertai Roland Garros selepas enggan memberikan komitmen kepada pihak media.

Osaka tewas pada pusingan ketiga Wimbledon 2017 dan 2018 serta di pusingan pertama pada 2019. Kejohanan itu dibatalkan pada tahun lalu berikutan pandemik Covid-19.

Sebelum itu, juara Wimbledon dua kali, Rafael Nadal turut mengumumkan menarik diri daripada kejohanan berkenaan serta Olimpik dalam usaha untuk 'memanjangkan kariernya'.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Jun 2021 @ 6:15 AM