Pemain Jepun Naomi Osaka mara ke pusingan ketiga Terbuka Australia. FOTO AFP.
Pemain Jepun Naomi Osaka mara ke pusingan ketiga Terbuka Australia. FOTO AFP.
AFP

MELBOURNE: Pilihan keempat Naomi Osaka dari Jepun menewaskan Tamara Zidansek dalam dua set untuk mara ke pusingan ketiga Terbuka Australia dan dia kini menyasarkan gelaran kedua Grand Slam.

Juara Terbuka Amerika Syarikat itu menumpaskan pemain bukan pilihan dari Slovenia 6-2, 6-4 untuk menempah pertemuan dengan pemain Taiwan, Hsieh Su-wei pada pusingan seterusnya.

Pemain berusia 21 tahun itu bergelut untuk menamatkan saingan meskipun memulakan aksi dengan baik sebelum kembali mengawal permainan menentang pemain ke-78 dunia itu.

“Saya ingatkan servis saya sudah cukup baik, ini kali pertama saya menentang Zidansek jadi secara jujurnya, saya gembira untuk memenangi perlawanan ini,” kata Osaka.

Pada masa sama, dia menjangkakan saingan sengit akan ditunjukkan Hsieh yang pernah ditewaskannya dalam satu-satunya pertemuan membabitkan mereka sebelum ini.

“Dia turut beraksi cemerlang jadi sudah pasti aksi itu akan bertambah menarik.”

Osaka dilihat enggan berlengah selepas perlawanan ditangguhkan susulan hujan yang memaksa bumbung Arena Margaret Court ditutup.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 January 2019 @ 6:19 PM