Mohd Haiqal Hanafi (kiri) terlepas menyertai kejohanan di Kazakhstan.
Mohd Haiqal Hanafi (kiri) terlepas menyertai kejohanan di Kazakhstan.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pelari pecut negara, Mohd Haiqal Hanafi disahkan positif Covid-19 ketika melakukan ujian calitan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum berlepas ke kejohanan Olahraga Kosanov Memorial di Almaty, Kazakhstan, awal pagi semalam.

Sementara, Khairul Hafiz Jantan menjadi kontak rapat kepada Mohd Haiqal walaupun keputusan ujian calitannya negatif virus berkenaan.

Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) Datuk SM Muthu berkata, kedua-dua atlet berkenaan tidak dibenarkan untuk menyertai kejohanan di Kazakhstan terbabit yang dijadualkan bermula 19 hingga 20 Jun ini sebaik mengetahui Haiqal positif Covid-19.

Katanya, Mohd Haiqal kemungkinan dijangkiti pandemik itu ketika bertemu dengan ahli keluarganya sebelum ini.

"Selain daripada dua atlet berkenaan yang perlu menjalani kuarantin di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps) terdapat beberapa individu kontak rapat dengan mereka turut diarahkan berbuat demikian.

"Setakat ini, keadaan Mohd Haiqal tiada masalah namun KOM tetap memantau perkembangan pelari negara terbabit.

"Mohd Haiqal tidak kena (Covid-19) di Majlis Sukan Negara (MSN) kerana sekarang ini dia berlatih di Johor," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Terdahulu, Mohd Haiqal dan Khairul Hafiz sepatutnya menyertai rakan mereka yang lain untuk beraksi di kejohanan Olahraga Kosanov Memorial di Almaty, Kazakhstan.

Kejohanan berkenaan sebagai memberi peluang kepada atlet utama memburu tiket ke Sukan Olimpik Tokyo dan Sukan Sea Hanoi selepas saingan Terbuka Malaysia yang dijadual berlangsung 11 hingga 13 Jun terpaksa ditunda susulan peningkatan kes Covid-19.

Cabaran skuad olahraga di Almaty akan diketuai jaguh lompat tinggi negara, Lee Hup Wei, Andre Anura Anuar (lompat jauh), Muhammad Hakimi Ismail (lompat kijang), Rayzam Shah Wan Sofian (110m lari berpagar), Connie Chu Kang Ni (lempar cakera) dan Yap Sean Yee (lompat tinggi).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Jun 2021 @ 3:40 PM