Jaguh lompat tinggi negara, Lee Hup Wei ketika menyertai kejohanan.
Jaguh lompat tinggi negara, Lee Hup Wei ketika menyertai kejohanan.
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Atlet lompat tinggi negara Lee Hup Wei tidak mahu fokusnya terhadap Olimpik terjejas kerana isu yang kini melanda antaranya dan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM).

Apa yang penting ketika ini adalah dia perlu muncul juara Kejohanan Olahraga Qosanov Memorial di Almaty, Kazakhstan yang dijadualkan pada 19 dan 20 Jun ini.

Kata Hup Wei, dia perlu muncul juara untuk mengukuhkan kedudukan rankingnya seterusnya berada dalam kelompok 32 terbaik dan layak ke Olimpik.

KOM sebelum ini menerima kritikan kerana mahu menghantar pegawai daripada persatuan negeri berbanding jurulatihnya Alexander Gasparyan ke Sukan Olimpik Tokyo.

"Kejohanan di Kazakhstan adalah kejohanan terakhir. Saya perlu ke sana untuk kekalkan kedudukan mata ranking. Kalau tak pergi ada bahaya sikit.

"Saya perlu fokus dan yang penting adalah muncul juara. Perkara lain sekarang ini letak di tepi dulu. Saya tak nak campur urusan politik.

"Tapi saya akan usaha juga untuk bawa jurulatih saya ke Olimpik. Saya sudah menghantar surat rayuan kepada semua pihak yang terbabit seperti KOM, KBS (Kementerian Belia dan Sukan), MSN (Majlis Sukan Negara) dan juga MOM (Majlis Olimpik Malaysia)," katanya.

Hup Wei berkata, dia tidak mahu bertegang urat dengan mana-mana pihak dan mahu perkara itu diselesaikan secara baik demi kepentingan semua.

"Saya pergi ke Olimpik bukan untuk suka-suka. Saya berjuang untuk bawa nama Malaysia yang mahu berikan yang terbaik buat negara.

"Saya tak mahu perkara ini menjadi isu besar kerana KOM seharusnya tahu mereka perlu menjadi tulang belakang atlet, membantu lebih banyak atlet untuk layak ke Olimpik," katanya.

Hup Wei yang juga juara Asia 2007 dan pemenang pingat emas Sukan Sea tiga kali adalah atlet olahraga terbaik Malaysia dalam ranking Olahraga Dunia, yang dikemas kini pada 31 Mei.

Hup Wei yang bertanding di Olimpik Beijing 2008 dan London 2012, di kedudukan ke-20 dengan 1,235 mata, manakala Nauraj Singh Randhawa yang memenangi pingat emas pada Kejohanan Tatabanya Siri Grand Prix (GP) pada Ahad lalu, di tempat ke-60 dengan 1,145 mata.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Jun 2021 @ 9:02 PM