GAYA  Hup Wei  dan Nauraj selepas tamat acara lompat tinggi di Sukan Sea Filipina.
GAYA Hup Wei dan Nauraj selepas tamat acara lompat tinggi di Sukan Sea Filipina.
Aida Adilah Mat


EMAS di Sukan SEA Filipina meniup semangat atlet lompat tinggi negara, Lee Hup Wei untuk terus mengorak langkah dengan menyasarkan temasya Olimpik sebagai destinasi seterusnya.

Hup Wei kini antara atlet olahraga paling berpotensi beraksi di temasya terbesar itu berdasarkan ranking yang mana 32 atlet terbaik akan layak beraksi di Tokyo.

Atlet berusia 32 tahun itu kini menghuni kedudukan ke-16 tetapi masih belum boleh menarik selesa kerana perjalanan masih jauh dan apa saja kemungkinan boleh berlaku.

Justeru dia yang pernah bergelar juara Asia pada 2007 itu mahu menyertai lebih banyak pertandingan bagi mengukuhkan kedudukan ranking dan Kejohanan Dalam Dewan Asia di China Februari ini antara kejohanan terdekat akan disertainya selepas tidak beraksi di Kejohanan Dalam Dewan Dunia di Tehran kerana faktor keselamatan.

Begitupun, Hup Wei mengakui bahawa untuk melepasi kelayakan secara merit adalah sukar apabila perlu melepasi ketinggian 2.33 meter (m) yang mana rekod terbaiknya adalah 2.29m. “Ketika ini hanya beberapa atlet saja boleh melepasi ketinggian 2.33m itu. Antaranya mereka yang menduduki lima terbaik dunia seperti Maksim Nedasekau dari Belarus, Ilya Ivanyuk, Naoto Tobe dan beberapa lagi atlet. Saya sendiri belum pernah melepasi ketinggian itu.

“Namun jika dikira daripada kedudukan ranking mungkin tidak mendatangkan masalah dan saya hanya perlu menyertai lebih banyak pertandingan selepas ini dan berharap dapat berpangkalan di Jerman bagi membolehkan menyertai lebih banyak pertandingan selain latihan,” katanya yang pernah beraksi di Olimpik Beijing 2008 dan London 2012.

Terdahulu ketua jurulatih olahraga negara, Mohd Manshahar Abdul Jalil berkata, Hup Wei antara calon terbaik untuk layak ke Olimpik berdasarkan kedudukan ranking. Namun kesemua atlet olahraga negara masih lagi berpeluang melepasi syarat kelayakan ke temasya terbesar dunia itu sebelum 29 Jun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 January 2020 @ 8:22 PM