Reezal Merican (tengah) mengadakan lawatan di Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik, hari ini.
Reezal Merican (tengah) mengadakan lawatan di Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik, hari ini.
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik Kampung Pandan akan menjadi pusat kuarantin khas untuk atlet negara yang pulang dari luar negara.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican ketika mengumumkan perkara itu berkata, ia membolehkan atlet yang sedang menjalani proses kuarantin dapat meneruskan latihan secara kondusif berbanding menjalani kuarantin di hotel.

"Kalau kita masih ingat atlet terjun yang pulang dari Jepun baru-baru ini seperti Pandelela (Rinong) dan (Cheong) Jun Hoong terpaksa berada di hotel.

"Akhirnya dalam tempoh (kuarantin) itu, mereka tidak dapat melakukan latihan yang diperlukan terutamanya mereka ini nak menyertai Sukan Olimpik.

"Maka saya berterima kasih kepada MKN (Majlis Keselamatan Negara) yang mewartakan pusat kecemerlangan ini sebagai tempat kuarantin untuk atlet yang pulang dari luar negara," katanya selepas melakukan lawatan ke Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik, hari ini.

Jelas Reezal hanya kumpulan atlet yang mempunyai kelangsungan program latihan dan pertandingan penting sahaja iaitu untuk Olimpik dan Paralimpik Tokyo 2020 akan ditempatkan di pusat kecemerlangan itu yang boleh menempatkan 36 orang atlet dan jurulatih pada satu-satu masa.

"Malah KBS melalui peranan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) akan mematuhi protokol pengurusan pusat kuarantin yang ditetapkan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dengan menambah baik lagi proses itu.

"Selain memperkenalkan ujian saringan bagi memastikan atlet atau jurulatih yang menjalani proses kuarantin di sini bebas daripada sebarang jangkitan, malahan tidak ada ruang untuk menyebarkan sebarang jangkitan kepada pihak lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Jun 2021 @ 5:01 PM