PENGURUS SIC Racing Team, Zulfahmi Khairuddin. FOTO NSTP
PENGURUS SIC Racing Team, Zulfahmi Khairuddin. FOTO NSTP
Syazwan Msarmohd


Kuala Lumpur: Hanya terperuk di hotel tanpa sebarang kemudahan latihan intensif menyebabkan pelumba sukan permotoran di negara ini boleh 'patah kaki' apabila pulang ke tanah air selepas mengharungi perlumbaan di luar negara.

Senario itu dilalui pelumba sukan permotoran di negara ini selepas mereka diarahkan menjalani kuarantin di hotel selama 14 hari tanpa sebarang kemudahan latihan hingga menyebabkan prestasi mereka merudum.

Pengurus SIC Racing Team Zulfahmi Khairuddin berkata, bukannya mahu meminta bulan dan bintang namun berharap pelumba sukan permotoran negara turut dibenarkan menikmati kemudahan seperti di Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik yang kini disediakan untuk atlet bertanding di Sukan Olimpik atau pun Paralimpik Tokyo 2020 sebaik tiba di tanah air.

"Saya nampak sukan permotoran ini sama seperti sukan lain di mana apabila mereka pulang, mereka masih memerlukan latihan di tempat seperti atlet Olimpik boleh meneruskan latihan.

"Apabila perlu menjalani kuarantin 14 hari di hotel dan tanpa melakukan apa-apa, sudah tentu tahap kecergasan dan prestasi akan menurun. Jadi perkara ini tidak membantu prestasi kami pada perlumbaan akan datang.

"Kami mempunyai lapan pusingan dalam setahun, Olimpik ada satu saja dalam tempoh empat tahun. Bagi saya, setiap perlumbaan dianggap sebagai Olimpik.

"Jadi, untuk menjaga prestasi, saya harap kami boleh dapat menjalani kuarantin di tempat yang boleh berlatih (seperti fasiliti di Kampung Pandan)," katanya, di sini.

Terdahulu, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mengadakan lawatan ke fasiliti di Kampung Pandan itu yang diumumkan sebagai pusat kuarantin bagi atlet negara yang pulang dari luar negara.

Begitupun, timbul tanda tanya selepas Reezal turut memberitahu bahawa kemudahan itu pada masa ini hanyalah menempatkan kumpulan atlet yang pulang dari luar negara dan mempunyai kelangsungan program latihan serta pertandingan penting saja dibenarkan iaitu Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo 2020.

Keputusan itu tampak seakan tidak begitu memihak kepada sukan lain termasuk permotoran yang turut membawa nama negara dan mempunyai kalendar perlumbaan lebih kerap di pentas antarabangsa.

Mengikut rekod, anak buah Zulfahmi menunjukkan prestasi menakjubkan pada musim ini tidak kira di peringkat Kejuaraan CEV mahupun Asia Talent Cup (ATC) dengan menyaksikan pelumba di bawah kendaliannya meraih beberapa penamat di pentas podium.

Pada saingan ATC, Danial Syahmi Ahmad Shahril membuktikan kemampuannya selepas kembali daripada kecederaan panjang dengan meraih dua penamat di tempat kedua dalam empat perlumbaan awal musim di Qatar, manakala Hakim Danish Ramli yang membuat kemunculan sulung di saingan antarabangsa, meraih tiga penamat di tempat ketiga.

Tidak kurang dengan itu, Muhammad Sharul Ezwan Sharil turut melakar keputusan yang baik dengan menamatkan keempat-empat perlumbaan dalam kelompok pungutan mata.

Hujung minggu lalu dalam saingan CEV, Syarifuddin Azman atau lebih dikenali sebagai Damok mengharumkan nama negara apabila meraih kemenangan pada Perlumbaan 1 saingan Pusingan 3 Kejuaraan CEV Moto3 Remaja Dunia di Litar Catalunya.

Selain Damok, turut beraksi di pentas CEV adalah Adam Norrodin dalam saingan Kejuaraan CEV Moto2 Eropah yang setakat ini sudah meraih dua penamat di tempat ketiga daripada lima perlumbaan musim.

Sharul dan Hakim turut menggalas cabaran di CEV dalam saingan European Talent Cup (ETC). Empat daripada lima pelumba Zulfahmi ini iaitu Damok, Hakim, Sharul dan Adam dijangka pulang ke tanah air pada 26 Julai ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Jun 2021 @ 2:14 PM