AHMAD Ismail mengumumkan meletak jawatan Presiden PSM. FOTO Owee Ah Chun
AHMAD Ismail mengumumkan meletak jawatan Presiden PSM. FOTO Owee Ah Chun
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Peletakan jawatan Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) Datuk Seri Ahmad Ismail tidak memberi sebarang erti malah segala kerosakan dan kemusnahan yang sudah dilakukannya sebelum ini cukup sukar untuk diperbaiki lagi.

Presiden Persatuan Sepak Takraw Selangor, Datuk Markiman Kobiran berkata, ketika ini agak sukar untuk memulihkan kembali badan induk sepak takraw negara itu selepas 'dibuang' Persekutuan Sepaktakraw Asia (Astaf).

Beliau berkata, ketika ini jalan terbaik adalah meneruskan agenda menubuhkan persatuan sepak takraw baharu berperanan menggerakkan kembali sukan terbabit dengan meletakkannya di peringkat lebih tinggi.

"Jika kami masuk kembali dalam PSM boleh diibaratkan terpaksa merobohkan kembali rumah dan membina baharu sekali gus memerlukan kos yang lebih tinggi dan banyak kerja perlu dilakukan sehingga keadaan pulih.

"Lebih baik kami menubuhkan persatuan baharu yang lebih sistematik dan matlamat kembalikan kegemilangan sepak takraw negara.

"Selain itu, sejauh mana kepimpinan tertinggi persatuan itu boleh memujuk kembali Astaf untuk menerima mereka selepas dikenakan hukuman penggantungan," katanya, ketika dihubungi Arena Metro,

Terdahulu, Ahmad atau lebih mesra dengan panggilan Tok Mat mengumumkan meletakkan jawatan selaku presiden PSM berkuat kuasa pada jam 12 tengah malam tadi.

Ahmad berkata, beliau mengambil sepenuh tanggungjawab terhadap apa yang berlaku kerana PSM perlu dipertahankan.

Mengikut rekod, Tok Mat dijatuhkan hukuman penggantungan selama 15 tahun daripada Astaf apabila didakwa menghantar surat kepada Majlis Olimpik Asia (OCA) dan salinannya kepada Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) di atas kapasitinya sebagai Timbalan Presiden Astaf pada 24 Februari.

Bagaimanapun tindakan Ahmad yang lebih dikenali sebagai Tok Mat mengambil pendekatan berdiam diri terhadap tempoh rayuan 14 hari, selain arahan untuk melunaskan kos perbicaraan ke atasnya yang berjumlah AS$25,000 (RM103,625) diputuskan Astaf sejak 6 Mei tidak dijelaskan, menjadikan tempoh hukuman penggantungannya kini menjadi 17 tahun berbanding 15 tahun sebelum ini.

Manakala PSM didapati bersalah kerana melanggar perjanjian bertulis yang diberikan kepada Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) dan ASTAF pada 14 Mac 2008, iaitu: 'untuk menyokong Istaf dan Astaf dalam mewujudkan dan mengekalkan pentadbiran persekutuan itu yang cekap.'

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Jun 2021 @ 7:06 PM