FAIZOL (kanan) bersama Ziyad ketika di London semalam.
FAIZOL (kanan) bersama Ziyad ketika di London semalam.
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Tanpa Faizol Harun mungkin tiadalah atlet para negara Ziyad Zolkefli yang kini semakin gah menguasai pentas dunia dalam acara lontar peluru.

Faizol adalah jurulatih Ziyad yang membimbing atlet itu mengharungi pelbagai cabaran hingga bergelar pemegang rekod dunia bagi kategori F20 (masalah pembelajaran).

Pelbagai dugaan dan ranjau yang dihadapi mereka bersama, antaranya Ziyad hampir berputus asa untuk meneruskan cabaran sebagai atlet pada 2011.

Namun selepas berbincang dari hati ke hati bersama Majlis Sukan Negara (MSN), Ziyad menarik balik hasratnya itu namun satu lagi masalah berlaku apabila Persekutuan Sukan Antarabangsa bagi Orang Kurang Upaya Intelektual (INAS) tidak mengeluarkan lesen untuk membolehkan dia bertanding.

“Hampir dua tahun Ziyad tidak berlatih dan tidak boleh menyertai mana-mana kejohanan kerana INAS tidak mengeluarkan lesen untuknya.

“Bagai jatuh ditimpa tangga, 2014 jari dia patah. Tiga bulan dia berehat sebelum kembali menjalani latihan. Biarpun begitu dia bangkit berjuang dan berjaya menguasai Sukan Para Asia di Incheon Korea,” katanya.

Kedua-duanya diuji lagi pada 2016. Malah Faizol berkata, ia satu dugaan yang cukup besar buat dirinya dan Ziyad.

“2016 adalah tahun yang penting buat kami berdua. Tahun yang mencabar dan menguji saya. Tiga hari sebelum saya dan Ziyad berangkat ke Jerman sebagai persediaan untuk Paralimpik Rio, ayah saya meninggal dunia. Terlintas di fikiran untuk menarik diri dan tidak ke Jerman tapi itu tidak adil bagi Ziyad.

“Seminggu selepas itu saya pergi juga ke Jerman. Saya tinggalkan isteri yang sarat mengandung untuk ke Jerman melatih Ziyad. Dua bulan kami di sana, alhamdulillah semua itu berbaloi.

“Inilah hasilnya. Berjaya di Rio dan kini bergelar juara dan pemegang rekod dunia,” katanya.

Ziyad dalam laman Instagram turut mengucapkan terima kasih kepada jurulatihnya itu.

“Terima kasih ‘coach’. Orang yang selalu memberikan motivasi terbaik, tak pernah jemu melatih dan melayan perangai saya yang degil dan tidak beberapa faham akan sesi latihan.

“Sentiasa memberi 100 peratus fokus kepada latihan. Tujuh tahun kami bersama. Bermacam-macam yang kami hadapi bersama. Dari kosong sampai ke pemegang rekod dunia. Dari jarak 10m sampai ke 17.29m. Terima kasih ‘coach’,” memetik penulisan dari laman instagram Ziyad yang mendapat 2,763 like.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Julai 2017 @ 3:54 AM