KKM sahkan kematian Haziq bukan kerana vaksin. FOTO NSTP
KKM sahkan kematian Haziq bukan kerana vaksin. FOTO NSTP
Oleh Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan kematian mengejut pemanah negara, Haziq Kamaruddin adalah disebabkan komplikasi salur darah jantung tersumbat akibat daripada perubahan arterosklerosis (coronary artery atherosclerosis).

Menerusi satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh KKM, bedah siasat yang dilakukan di Hospital Kajang disiasat di bawah Sudden Death Report (SDR) oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang.

Pakar Perunding Kanan Perubatan Forensik Selalu, Ketua Perkhidmatan Perubatan Forensik KKM, Datuk Dr Zahari Noor bagaimanapun menegaskan, siasatan lanjut masih berjalan dan tiada sebarang bukti menunjukkan ia berkait langsung dengan vaksin Covid-19.

"Proses bedah siasat selesai dilakukan selepas calitan ujian Covid-19 yang diambil menunjukkan keputusan negatif bagi virus itu.

"Hasil bedah siasat menunjukkan kematian akibat komplikasi salur darah jantung tersumbat akibat daripada perubahan arterosklerosis (coronary artery atherosclerosis).

"Bagaimanapun siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk menunggu beberapa keputusan analisa makmal. Namun, sehingga kini tiada bukti menunjukkan bahawa kematian ini adalah berkaitan langsung dengan vaksinasi Covid-19," katanya.

Semalam, pemanah Olimpian negara itu meninggal dunia selepas rebah di rumahnya di Kajang selepas menunaikan solat subuh pagi semalam dan Haziq kemudian digegaskan ke Hospital Kajang namun disahkan meninggal dunia pada 9.37 pagi.

Jenazahnya selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Taman Koperasi Serkam Darat, Merlimau kira-kira 1.40 pagi ini.

Pemanah recurve itu pernah mewakili negara ke temasya Olimpik sebanyak dua kali, iaitu pada edisi London 2012 serta Rio 2016 di Brazil dan kini sedang mengejar slot kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo yang dijadualkan berlangsung dari 23 Julai hingga 8 Ogos depan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Mei 2021 @ 12:53 PM