GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Kematian lelaki dalam pergaduhan di kedai makan di Jalan Prima 2, Metro Prima, Kepong, di sini, hari ini, adalah berpunca daripada masalah jantung.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, proses bedah siasat terhadap mayat mangsa berusia 76 tahun itu dibuat di Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) Hospital Kuala Lumpur (HKL) kira-kira 3 petang tadi.

"Hasil bedah siasat dilakukan mendapati punca kematian adalah 'ischemic heart disease due to coronary artery atherosclerosis' (masalah jantung).

"Bagaimanapun, siasatan kes ini masih diteruskan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan sehingga kertas siasatan dirujuk kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan lelaki warga emas meninggal dunia dalam pergaduhan itu gara-gara menagih hutang RM250 daripada rakan lamanya.

Dalam pergaduhan itu, mangsa dipukul suspek berusia 63 tahun menggunakan sebuah kerusi plastik, manakala mangsa membalas serangan suspek menggunakan rod kabel.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 January 2023 @ 9:44 PM