ALLAHYARHAM Haziq Kamaruddin.
ALLAHYARHAM Haziq Kamaruddin.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kajang: Polis sedang mengesan individu dikenali sebagai Aqila Yusri yang dipercayai terbabit dalam penularan video mendakwa kematian pemanah negara, Allahyarham Haziq Kamaruddin berpunca dari saluran darah tersumbat akibat pengambilan vaksin AstraZeneca.

Malah, rakaman video berdurasi tiga minit 34 saat berkenaan juga mendakwa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyembunyikan punca sebenar kematian Haziq.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung rakaman video terbabit daripada seorang pelajar perempuan pada 22 Mei lalu.

"Siasatan awal mendapati rakaman video berkenaan dimuat naik menerusi status WhatsApp milik penama Aqila Yusri selain dimuat naik dalam Instagram @agilayusri.

"Hasil penelitian dalam video itu mendapati terdapat seorang wanita menyatakan kematian Allahyarham Haziq berpunca daripada saluran darah tersumbat akibat vaksin AstraZeneca.

"Malah, terdapat juga dakwaan bahawa KKM melaporkan jumlah kes positif yang tidak tepat," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, pihak polis sedang mengesan suspek yang terbabit dalam rakaman video berkenaan untuk siasatan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) 1998.

"Orang ramai diseru supaya tidak sewenang-wenangnya mengulas atau menularkan sebarang maklumat yang tidak sahih kerana tindakan itu boleh mendatangkan kegusaran kepada masyarakat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Mei 2021 @ 2:04 PM