Firdaus Hashim

Kajang: Menteri Belia dan Sukan, Reezal Merican Naina Merican menyeru orang ramai supaya tidak mengaitkan kematian pemanah negara, Haziq Kamaruddin dengan suntikan vaksin Covid-19 seperti mana yang tular di media sosial ketika ini.

Jelas Reezal, keputusan bedah siasat kematian Haziq masih belum diperolehi dan beliau menasihatkan supaya tidak membuat apa-apa spekulasi bagi menjaga perasaan ahli keluarga yang sedang bersedih di atas pemergian Olimpian negara itu.

"Saya rasa kita kena ada rahmahlah. Sekurang-kurangnya kita hormati perasaan keluarga dahulu. Arwah divaksinkan sama dengan saya pada April bersama-sama dengan rakan-rakan yang lain, juga Tan Sri (Mohamad) Norza Zakaria (Presiden Majlis Olimpik Malaysia).

"Manakala vaksin kali kedua pula pada 4 Mei, maknanya 10 hari yang lalu. Setiap yang divaksinkan semua atlet di bawah pemantauan rapi oleh semua kakitangan ISN (Institut Sukan Negara) dan malahan, mereka juga mengambil RTK kali kedua pada 11 Mei dan daripada ujain itu negatif.

"Jadi saya tak mahu buat andaian apa-apa dan saya fikir adalah amat-amat tidak bertanggungjawab dan saya merayu di luar sana bahawa kita sekurang-kurangnya hormat perasaan kepada keluarga arwah.

REEZAL (kiri) berkata sesuatu kepada balu allahyarham atlet memanah negara, Haziq Kamaruddin, Shahira Abdul Halim (dua kanan) ketika hadir di bilik mayat Hospital Kajang. FOTO Owee Ah Chun
REEZAL (kiri) berkata sesuatu kepada balu allahyarham atlet memanah negara, Haziq Kamaruddin, Shahira Abdul Halim (dua kanan) ketika hadir di bilik mayat Hospital Kajang. FOTO Owee Ah Chun

"Isterinya reda dan sedih, tetapi mengganggap adalah satu fitrah yang diterima tapi janganlah kita besar-besarkan benda yang tak betul.

"Kajian dan bedah siasat masih dilakukan dan sebarang dapatan itu, Insya-Allah akan dimaklumkan nanti," katanya yang turut berada di Hospital Kajang menziarahi keluarga Haziq dan rakan sepasukannya.

Terdahulu, atlet berpengalaman itu disahkan meninggal dunia pagi tadi selepas mengadu tidak sihat kepada isterinya, Shahira Abdul Halim.

Setibanya di hospital, Haziq disahka meninggal dunia dan di bawa ke unit forensik Hospital Kajang untuk menjalani ujian calitan sebelum menunggu arahan polis bagi proses bedah siasat.

Untuk rekod, Haziq pernah beraksi di pentas Olimpik 2012 serta 2016 dan arwah sedang berusaha untuk layak beraksi di Tokyo dalam acara berpasukan seterusnya mengikuti jejak langkah rakan pasukan, Khairul Anuar Mohamad.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Mei 2021 @ 5:36 PM