AZIZULHASNI memenangi perlumbaan saringan pertama. FOTO REUTERS
AZIZULHASNI memenangi perlumbaan saringan pertama. FOTO REUTERS
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang tidak berdepan masalah mengesahkan kemaraan ke suku akhir acara keirin di Kejohanan Berbasikal Trek Dunia di Glasgow, Scotland, awal pagi tadi.

Azizulhasni yang diberi julukan The Pocket Rocketman berjaya menguasai saringan pertama dalam perlumbaan yang berlangsung di Velodrom Sir Chris Hoy.

Dia mengatasi pencabar terdekatnya yang juga pemenang pingat perak acara pecut dari Trinidad & Tobago, Nicholas Paul yang mengakhiri saingan di tempat kedua sekali gus turut mara ke suku akhir.

Pada aksi suku akhir yang bakal berlangsung, awal pagi esok, Azizulhasni diletakkan satu kumpulan bersama naib juara tahun lalu, Jeffrey Hoogland dari Belanda, Tom Cornish (Australia), Maximilian Dornbach (Jerman), Shinji Nakano (Jepun) dan Sam Dakin (New Zealand).

Empat pelumba terbaik dalam setiap saringan layak ke separuh akhir.

Azizul dilihat berada diprestasi terbaiknya untuk mengulangi pencapaian 2017 iaitu meraih emas dalam acara keirin ketika berlangsung di Hong Kong.

Dua tahun lalu di Berlin, Azizul menghadiahkan dua gangsa menerusi pecut dan keirin.

Sementara itu, nasib tidak menyebelahi dua lagi pelumba negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan adiknya, Muhammad Ridwan Sahrom yang gagal meneruskan kemaraan ke suku akhir selepas terkandas di pusingan repechage.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Ogos 2023 @ 2:32 PM