SHAH Firdaus tidak akan berlumba dalam acara keirin di Adelaide berikutan belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan. FOTO FB MUHAMMAD SHAH FIRDAUS
SHAH Firdaus tidak akan berlumba dalam acara keirin di Adelaide berikutan belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan. FOTO FB MUHAMMAD SHAH FIRDAUS
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Ketua jurulatih berbasikal trek negara, John Beasley tidak mahu mengambil risiko menurunkan Muhammad Shah Firdaus Sahrom dalam acara keirin di kejohanan Piala Negara Trek di Adelaide, bermula Jumaat ini.

Ia susulan keadaan Shah Firdaus yang belum pulih sepenuhnya selepas terbabit kemalangan apabila tayar basikalnya pecah semasa sesi latihan berintensiti tinggi.

Kemalangan itu menyebabkan dia lebam, melecet dan buku lali bengkak.

Beasley berkata, dia kemungkinan besar hanya akan menurunkan Shah dalam acara pecut individu lelaki bersama Fadhil Zonis.

"Kami perlu melihat sama ada dia cukup sihat untuk memulakan (pecut individu) di sini, walaupun dia sebenarnya okey, tapi dia tidak berada tahap terbaik.

"Saya tidak akan mengambil risiko menyenaraikan Shah dalam keirin kerana kulitnya masih belum sembuh sepenuhnya (luka melecet).

"Kita tak dapat menjangka kerana dalam perlumbaan keirin mungkin boleh berlaku kemalangan apabila pelumba berada dalam keadaan terdesak mengumpul mata kelayakan ke Sukan Olimpik Paris 2024.

"Saya tidak mahu dia mengambil risiko terlepas Kejohanan Asia New Delhi yang begitu hampir (21-26 Februari)," kata Beasley.

Shah Firdaus sering terbabit dengan kemalangan ketika perlumbaan sehingga digelar oleh rakan sepasukan, Datuk Azizulhasni Awang sebagai 'The Terminator' kerana kegigihannya meneruskan perlumbaan walaupun mengalami kecederaan serius.

Sementara itu, Beasley menjelaskan Azizulhasni yang menghidap perikarditis sejak beberapa minggu lalu hanya akan beraksi dalam keirin di Adelaide bersama Fadhil.

Manakala pelumba wanita, Anis Amira Rosidi, Izzah Izati Asri dan Aliana Syafika Azizan akan bersaing dalam acara pecut berpasukan wanita di Adelaide.

Anis dan Izzah turut bersaing dalam acara pecut dan keirin individu wanita.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 January 2024 @ 5:18 PM