WOODS ketika ini sedang melalui proses pemulihan. FOTO EPA
WOODS ketika ini sedang melalui proses pemulihan. FOTO EPA
Agensi

Los Angeles: Tiger Woods memerlukan tempoh tiga bulan untuk berjalan semula selepas terbabit dengan kemalangan kereta.

Sensasi golf berusia 45 tahun itu ketika ini dirawat di Pusat Perubatan Cedars-Sinai di Los Angeles, pusat trauma tahap satu yang terkenal dengan pemulihan atlet.

Sebelum itu, Woods di tempatkan di Pusat Perubatan Harbor-UCLA yang juga lokasi pertama dia menerima rawatan.

Woods mengalami kecederaan serius di kaki kanannya akibat kemalangan itu termasuk dua kesan retak dan kecederaan di pergelangan kaki.

Pemenang 15 kejuaraan utama itu selamat menjalani pembedahan.

Ia termasuk dipakaikan alat sokongan seperti skru dan pin untuk menstabilkan bahagian kaki dan pergelangan kakinya.

Bekas pemain golf Jelajah PGA dan pakar bedah, Bill Mallon berkata, Woods memerlukan masa selama tiga bulan sebelum bintang golf itu boleh menggunakan kembali kaki kanannya.

"Melihat tahap kecederaannya di bahagian kaki, dia memerlukan sekitar tiga bulan untuk sembuh bagi membolehkannya kakinya kuat menampung berat badannya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Februari 2021 @ 12:44 PM