DATUK Shahrul Zaman Yahya. FOTO NSTP
DATUK Shahrul Zaman Yahya. FOTO NSTP
BERNAMA

Ipoh: Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) merayu sumbangan kewangan daripada mana-mana pihak termasuk syarikat bagi membolehkan pasukan ragbi negara 15 sepasukan menyertai perlawanan di peringkat antarabangsa.

Presiden KRM, Datuk Shahrul Zaman Yahya berkata pihaknya memerlukan sekurang-kurangnya RM2 juta bagi membolehkan pasukan itu menyertai Kejohanan Ragbi Asia yang mungkin berlangsung pada Mei atau Jun depan.

Katanya pada kejohanan itu yang sepatutnya berlangsung tahun lalu, namun ditunda ke tahun ini disebabkan penularan wabak Covid-19, pasukan negara dijadual menentang Hong Kong dan Korea.

"RM2 juta itu bukan untuk pergi sahaja, tapi untuk melayan kunjungan Hong Kong dan Korea selain mempersiapkan pasukan selama enam bulan. Tapi ini pun dah lambat kerana sepatutnya kem latihan bermula Januari, kini ditangguhkan ke Februari sebab Perintah Kawalan Pergerakan.

"Cabaran terbesar sekarang ialah pembiayaan. Tahun lalu dua penaja utama kami sudah batalkan hasrat kerana situasi pandemik Covid-19. Pada masa ini, pasukan berdepan belanjawan sifar tapi kami masih berusaha lagi mencari (tajaan)," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Menurut Shahrul Zaman, ketika ini skuad ragbi negara berada di ranking ke-49 dunia dan ke-6 di Asia, jauh di belakang Hong Kong serta Korea, maka platform terbaik termasuk mengadakan perlawanan ujian bagi membantu merapatkan jurang berkenaan.

"Kepada badan korporat di luar sana, sumbangan anda akan mendapat pengecualian cukai.

"Tolong realisasikan impian mereka, kami mahu bersaing dalam Piala Dunia Ragbi 2031. Ada yang mengatakan mustahil. Ia satu proses, tetapi sekurang-kurangnya kita perlu berusaha sebaik mungkin," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 January 2021 @ 2:33 PM