Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Persembahan bertenaga menjadi kelebihan buat TNB Thunderbolts untuk membenam Young Elephants Pahang 4-2 kategori premier saingan TNB Liga Hoki Malaysia (TNB MHL) 2024 di Stadium Hoki Wisma Belia, sebentar tadi.

Ketinggalan 0-2 pada babak pertama tidak mematahkan semangat pasukan pelawat untuk bangkit menggandakan asakan pada babak kedua hingga menghasilkan empat gol yang menutup kelebihan yang ada pada tuan rumah.

Jurulatih TNB Thunderbolts, M Kaliswaran berkata, barisan pemainnya lambat panas dan gagal mengikut corak permainan yang diatur sepanjang babak pertama.

"Kebangkitan pasukan TNB Thunderbolts berlaku sepanjang babak kedua apabila empat gol pemusnah berjaya dicipta pemain sehingga penghujung permainan yang begitu bermakna buat saya sebagai jurulatih.

"Saya tidak menyangka pemain saya berjaya bangkit sepanjang babak kedua, mereka melakukan tanpa dirancang. Impian meraih kemenangan menjadi senjata utama pasukan pada perlawanan hari ini," katanya.

Katanya, pasukan TNB Thunderbolts mampu melangkah lebih jauh musim ini, walaupun membariskan pemain muda namun mereka tetap memiliki kesungguhan dan semangat tinggi disulam dengan kemahiran.

Perlawanan seterusnya TNB Thunderbolts bertemu Nurinsafi Sporting di Stadium Hoki Nasional 2, Ahad ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Februari 2024 @ 7:53 PM