AKSI perlawanan THT (jersi putih) menentang TNB Thunderbolts. FOTO Facebook TNB Thunderbolts
AKSI perlawanan THT (jersi putih) menentang TNB Thunderbolts. FOTO Facebook TNB Thunderbolts
Ferzalfie Fauzi

ferzalfie@[email protected]

KUALA LUMPUR: Pasukan Hoki Terengganu (THT) gagal merapatkan jurang dengan pendahulu Liga Perdana Universiti Kuala Lumpur (UniKL) apabila tewas mengejut 1-2 kepada pasukan ‘budak sekolah’ TNB Thunderbolts di Stadium Tun Razak semalam.

Kekalahan berkenaan jelas sekali mengudang rasa kurang senang pengendali kelab berkenaan, I Vikneswaran dan menganggap ia satu kesilapan yang tidak boleh dimaafkan.

“Tiada alasan untuk kalah. Kami tumpas kepada pasukan yang dibarisi pelajar sekolah. Ini bukan satu jenaka dan kita perlu fikirkan soal maruah,” katanya ketika ditemui sejurus perlawanan tamat semalam.

Vikneswaran mengakui bahawa sesuatu yang lebih tegas harus dilakukan kepada anak buahnya selepas dilihat kurang berselera untuk meraih kemenangan.

“Macam mana lagi kita harus main untuk mencatatkan kemenangan. Mereka mengambil masa terlalu lama untuk menyesuaikan diri dan faktor hujan bukan satu alasan.

“Banyak peluang dilepaskan dan gol pertama pasukan lawan pula tiada perkataan yang boleh saya ungkapkan, di mana kami memberi peluang kepada pasukan tangga tercorot untuk mencatat kemenangan. Kita harus belajar dari kesilapan ini,” katanya.

Sementara itu, pengendali TNB Thunderbolts, M Kaliswaran, mengakui bahawa anak buahnya sebenarnya mempunyai keupayaan tersendiri tetapi terlalu menyimpan kuku.

“Sebenarnya mereka boleh untuk beraksi dengan baik. Buat apa mereka mahu menyimpan kebolehan mereka. Mereka ada kelajuan dan kemahiran.

“Mereka mengikut perancangan yang saya buat dan dari situ kita berjaya beraksi dengan baik. Bagaimanapun, ini bukan tugas mudah buat saya untuk mengubah fikiran mereka. Mereka terlalu sensitif dan takut sebelum ini,” kata Kaliswaran.

TNB Thunderbolts membuka jaringan hasil gol padang Hazzim Amin Hafidz pada minit ke-28, sebelum pemain import THT dari Korea Selatan, Jung Manjae menyamakan kedudukan pada separuh masa kedua.

Gol kemenangan tuan rumah disempurnakan Aminudin Zain melalui pukulan sudut penalti pada minit ke-51.

Kemenangan berkenaan membolehkan TNB Thunderbolts melonjak ke tangga kelima dengan mengumpul empat mata, manakala THT ditempat ketiga (13 mata).

Perlawanan lain menyaksikan UniKL membelasah Universiti Teknologi Mara (UiTM) 11-0 dan kekal di persada liga dengan mengumpul 22 mata.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Februari 2019 @ 10:05 PM