PEMAIN THT, Lopez Barrieiroz (dua kanan) diasak pemain, TNB Thunderbolt, Arif Shafie Ishak (kanan) pada aksi perlawanan Liga Hoki Malaysia TNB/MHL 2018 di Stadium Hoki Majlis Bandaraya Batu Burok. -Foto GHAZALI KORI
PEMAIN THT, Lopez Barrieiroz (dua kanan) diasak pemain, TNB Thunderbolt, Arif Shafie Ishak (kanan) pada aksi perlawanan Liga Hoki Malaysia TNB/MHL 2018 di Stadium Hoki Majlis Bandaraya Batu Burok. -Foto GHAZALI KORI
Faizul Azlan Razak


PENGENDALI TNB Thunderbolts, Muhammad Amin Rahim akur dan bersikap realistik dengan kekalahan 2-6 pasukannya di tangan Pasukan Hoki Terengganu (THT) dalam saingan Liga Perdana di Stadium Hoki Batu Burok, malam tadi.

Amin berkata, anak buahnya sedaya upaya memberikan yang terbaik namun gagal menandingi pasukan yang dibarisi pemain terbaik tempatan dan import.

“Saya memuji kesungguhan pemain yang mempamerkan persembahan bertenaga dalam perlawanan malam ini (malam tadi), tapi ia belum cukup untuk menyaingi THT.

“Secara keseluruhan saya puas hati dan nampak ada peningkatan yang ditunjukkan pemain serta akan perbaiki kelemahan yang ada,” katanya yang ditemui selepas perlawanan.

Pada perlawanan itu, pakar pukulan sudut penalti dunia dari Argentina, Gonzalo Peillat meledak hatrik pada minit ke-17, 34 dan 59 manakala Sufi Ismat (m-20), Luqman Nur Hakim Shukran (m-43) dan Joaquin Menini (m-56) melengkapkan kemenangan bergaya THT.

TNB Thunderbolts memperoleh dua jaringan hasil sumbangan Arif Sabrom (m-6) dan penalti stroke Azammi Adabi (m-52).

Amin berkata, selepas ini tiga lagi pasukan kuat menanti bermula dengan pasukan ‘abang’ TNB diikuti UniKL dan Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC).

Sementara itu, Sarjit Singh mengakui gembira dengan kebangkitan THT susulan dua kekalahan kepada KLHC sebelum ini.

Jurulatih itu berkata, sekalipun Peillat berjaya melakukan hatrik, namun banyak peluang menerusi sudut penalti gagal dissudahkan.

“TNB Thunderbolts mempamerkan persembahan bertenaga dan berjaya menghukum kelekaan pemain saya. Namun, saya gembira apabila mereka bangkit dan berjaya meraih tiga mata penuh dalam perlawanan ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 January 2018 @ 4:20 PM