VAN Eijk turut mengakui Malaysia membawa tuah kepada pasukannya. FOTO AIZUDDIN SAAD
VAN Eijk turut mengakui Malaysia membawa tuah kepada pasukannya. FOTO AIZUDDIN SAAD
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Ketua jurulatih Jerman, Rein van Eijk gembira melihat perubahan permainan yang ditampilkan oleh anak buah di separuh masa kedua apabila berjaya bangkit dengan dua jaringan untuk memadam kelebihan satu gol yang peroleh oleh Perancis.

Jelas Van Eijk, sewaktu rehat, beliau mengarah pemain untuk mengubah corak permainan bagi memberi lebih tekanan kepada pemain lawan sambil memastikan pertahanan mereka berada di tahap terbaik.

"Kembali dari rehat, kami memberi fokus kepada beberapa perkara seperti pertahanan dan pemain perlu memberi lebih tumpuan untuk aksi separuh masa kedua dengan bermain secara menyerang.

"Perkara itu nampak menjadi apabila Perancis mula tidak boleh bermain seperti sebelum separuh masa pertama kerana kami tidak membenarkan mereka untuk bergerak bebas sehingga tamat permainan," katanya.

Tambahnya, beliau turut mengakui Malaysia membawa tuah kepada pasukannya apabila mereka sekali lagi mereka muncul juara Piala Dunia Remaja yang sebelum ini turut dilakarkan di negara ini pada tahun 1982, 1989, 2009 dan 2023.

Untuk rekod, Jerman paling banyak memenangi kejohanan itu dengan tujuh kejuaraan dan empat daripadanya hadir sewaktu Malaysia menjadi tuan rumah kejohanan berkenaan.

Sementara itu, Liam Holdermann menjadi duri dalam daging buat Perancis apabila jaringannya pada minit ke-40 membuatkan 'The Les Bleus' terpaksa berpuas hati sekali lagi sebagai naib juara sama seperti 2013 di mana mereka turut tewas kepada lawan yang sama di final.

"Saya sungguh beremosi pada saat ini (malam tadi). Saya tidak dapat percaya jaringan saya akan menjadi gol kemenangan bagi perlawanan ini dan juga untuk kejuaraan pertandingan ini. Ini hari paling manis bagi Jerman. Saya akui ini perlawanan sukar dan saya gembira apabila kita (Jerman) berjaya menjulang trofi (Piala Dunia Remaja) ini, "katanya.

Terdahulu, Perancis dan Jerman diundi dalam kumpulan yang sama dan skuad kendalian Matthias Dierckens berjaya menundukkan Jerman 2-0 tetapi magis itu tidak berulang pada final malam tadi.

Perancis terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minit ke-14 menerusi Jules Verrier namun Jerman bangkit dengan dua gol di suku ketiga menerusi Jan Cordes serta Holdermann pada minit ke-32 dan 40'. Ketiga-tiga gol terhasil dari jaringan padang.

Biarpun Perancis kecewa tidak muncul juara tetapi masih boleh tersenyum apabila ketua pasukan mereka, Gaspard Xavier memenangi dua anugerah iaitu Pemain terbaik kejohanan dan Anugerah Rising Stars.

Penjaga gol Jerman, Joshua Onyekwue Nnaji pula memenangi penjaga gol terbaik sementara Hugo Labouchere dari Belgium membawa pulang anugerah penjaring gol terbanyak dengan sembilan jaringan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Disember 2023 @ 5:19 PM