SUBAHAN Kamal (kanan) pada sidang media semalam. FOTO HAZREEN MOHAMAD
SUBAHAN Kamal (kanan) pada sidang media semalam. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) terpaksa menukar 'taktikal' dengan tidak menghantar skuad hoki lelaki negara menentang gergasi dunia Eropah namun lebih memilih untuk berada di Korea Selatan selama 10 hari dalam usaha meningkatkan prestasi pasukan.

Perubahan perancangan itu adalah disebabkan Persekutuan Hoki Asia (AHF) menganjurkan Trofi Juara-Juara Asia 2023 di Stadium Mayor Radhakrishnan, Chennai, India dari 3 hingga 12 Ogos depan sekali gus akan memberi manfaat kepada pasukan negara jika 'berkampung' di Korea Selatan.

Presiden MHC, Datuk Seri Subahan Kamal berkata, pertemuan bersama Korea Selatan akan memberikan manfaat memandangkan lawan itu berada di ranking kesembilan dunia selain berjaya mara ke suku akhir Piala Dunia 2023.

"Pelan (ketua jurulatih) Arul Selvaraj dan (pengurus) Datuk Mirnawan Nawawi ke Korea Selatan bulan ini selama 10 hari dari 18 hingga 28 Jun. Kita akan 'sparring' dengan Korea Selatan.

"Suka tak suka mereka di tangga kesembilan dan kita ke-10 dunia. Tidak mudah tetapi mereka boleh dikalahkan. Ini adalah sebahagian daripada persediaan kita ke Trofi Juara-Juara Asia.

"Sebelum ini perancangan pasukan lelaki ke Eropah menentang Belgium, Jerman dan Sepanyol. Malangnya, AHF datang dengan Trofi Juara-Juara Asia, jadi Arul terpaksa mengubah percaturan dan kita ke Korea Selatan," katanya.

Mengikut rekod, Pencapaian terbaik Malaysian Tigers di pentas Trofi Juara-Juara Asia adalah tempat ketiga sebanyak lima kali berturut-turut pada 2011, 2012, 2012, 2016 dan 2018.

Bagaimanapun, skuad negara mengambil keputusan menarik diri daripada beraksi edisi 2021 di Dhaka, Bangladesh disebabkan bimbang dengan situasi penularan Covid-19 ketika itu.

Kem latihan di Korea Selatan dan Trofi Juara-Juara Asia tetap dilihat sebagai langkah persediaan terbaik Malaysia untuk menjuarai Sukan Asia Hangzhou di China pada September depan untuk layak secara automatik ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Jun 2023 @ 3:37 PM