Presiden MHC, Datuk Seri Subahan Kama. FOTO File NSTP
Presiden MHC, Datuk Seri Subahan Kama. FOTO File NSTP
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) akan berusaha untuk membawa skuad wanita negara pulang ke tanah air dari Donghae, Korea Selatan lebih awal selepas mereka tidak dibenarkan bertanding di kejohanan Trofi Juara-Juara Asia (ACT) 2021.

Presiden MHC, Datuk Seri Subahan Kamal dalam satu sidang media yang berlangsung hari ini memaklumkan bahawa pihaknya bersama Majlis Sukan Negara (MSN) dan Wisma Putra sedang berusaha untuk membawa pulang pemain negara daripada tarikh jangkaan iaitu 13 Disember.

Bagaimanapun ia terpulang kepada budi bicara kerajaan di Korea yang mana ia perlu dipatuhi bagi menangani penularan Covid-19.

"MHC sentiasa akan melakukan yang terbaik untuk pemain. Kami sedang berusaha untuk membawa mereka pulang dengan segera jika boleh.

"Tapi jika tidak boleh, mereka akan pulang mengikut jadual iaitu selepas kuarantin tamat pada 13 Disember ini.

"Manakala sekiranya pemain yang positif Covid itu perlu lebih lama berada di sana (Korea), mereka tidak akan diabaikan. Akan ada pegawai MHC yang akan berusaha untuk memantau dan menjaga urusan mereka nanti," katanya.

Pasukan negara dikuarantin sejak 1 Disember selepas Nurul Faezah Shafiqah Khalim disahkan positif Covid-19 selepas menjalani ujian calitan sebaik pasukan itu tiba di Donghae pada 29 November.

Namun kini dua lagi pemain negara iaitu Fatin Shafika Mohd Sukri dan Nur Atira Mohamad Ismail turut disahkan positif dan mereka sudah pun di bawa ke pusat kuarantin di Korea dan tahap kesihatan ketiga-tiga pemain berkenaan berada dalam keadaan baik dan tiada sebarang gejala.

Subahan berkata, apa yang berlaku buat skuad wanita negara itu adalah episod malang yang tidak dijangka terutama ketika pemain begitu teruja untuk menyertai pertandingan pertama selepas hampir setahun menjalani latihan.

Terdahulu Persekutuan Hoki Asia (AHF) mengumumkan skuad hoki projek khas wanita 'The Malaysian Tigress' dikeluarkan daripada kejohanan ACT 2021 di Donghae, Korea Selatan.

AHF dalam kenyataan memaklumkan pasukan negara tidak dapat menyertai kejohanan itu susulan kes Covid-19 yang dilaporkan dalam skuad kebangsaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Disember 2021 @ 2:26 PM