Skuad Malaysian Tigress ketika ini beraksi di Korea Selatan. FOTO MHC
Skuad Malaysian Tigress ketika ini beraksi di Korea Selatan. FOTO MHC
BERNAMA

Kuala Lumpur: Persekutuan Hoki Asia (AHF) memberi pengiktirafan khas kepada skuad Hoki Projek Khas Wanita negara yang sedang beraksi di kejohanan Trofi Juara-Juara Asia Wanita (ACT) di Donghae, Korea Selatan.

Anugerah Pengiktirafan Khas itu diberikan sebagai penghormatan kepada Malaysian Tigress atas dedikasi, usaha, kesanggupan dan kerjasama mereka menyertai kejohanan walaupun tidak dibenarkan beraksi dalam dua perlawanan berdepan China dan India, selepas Nurul Faezah Shafiqah Khalim disahkan positif Covid-19.

"Ia adalah minggu yang sukar buat atlet dan pasukan Malaysia yang telah membuat persiapan rapi selama berbulan-bulan dan mengembara ke Donghae, Korea Selatan untuk saingan Trofi Juara-juara Asia.

"Susulan keadaan tidak diduga, pasukan Malaysia tidak dapat mengambil bahagian pada hari pertama dan kedua kejohanan itu." menurut AHF dalam kenyataan hari ini.

Pada Ahad lalu, skuad hoki wanita kebangsaan tidak dibenarkan turun menentang China oleh penganjur selepas seorang daripada pemain negara disahkan positif Covid-19 ketika ketibaan pada 29 November, yang menyebabkan seluruh pasukan negara dikuarantin sejak 1 Disember.

Malaysia juga terlepas perlawanan kedua berdepan India semalam, tapi akan berdepan Jepun esok, diikuti Korea Selatan (9 Disember) dan Thailand (11 Disember) dalam saingan enam pasukan itu.

Pencapaian terbaik skuad negara adalah kedudukan pingat gangsa pada edisi 2013, manakala pada edisi 2018, skuad Malaysia Tigress menamatkan saingan di tempat keempat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Disember 2021 @ 2:23 PM