SKUAD hoki wanita ketika bergambar di KLIA sebelum berlepas ke Korea Selatan sebelum ini. FOTO MHC
SKUAD hoki wanita ketika bergambar di KLIA sebelum berlepas ke Korea Selatan sebelum ini. FOTO MHC
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Nasib malang menimpa skuad hoki projek khas wanita apabila terlebih dahulu 'diuji' walaupun belum lagi turun beraksi pada perlawanan Trofi Juara-juara Asia (ACT) 2021 di Donghae, Korea Selatan.

Pasukan terbabit tidak dibenarkan untuk turun menentang China pada aksi pembukaan yang dijadualkan berlangsung pada hari ini.

Larangan itu disebabkan seorang daripada pemain negara, Nurul Faezah Shafiqah Khalim disahkan positif Covid-19 ujian calitan ketika ketibaan pasukan pada 29 November lalu, yang menyebabkan seluruh pasukan negara dikuarantin sejak 1 Disember.

Timbalan Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Dr S Shamala ketika dihubungi Arena Metro mengesahkan perkara terbabit apabila meyatakan ketika ini barisan pemain dan kejurulatihan hanya berada dalam bilik masing-masing untuk menjalani proses kuarantin.

Beliau berkata, MHC hanya menunggu keputusan yang akan dimaklumkan oleh pihak berkaitan pada hari esok sebelum memutuskan tindakan lanjut sama ada meneruskan penyertaan atau pulang ke tanah air.

Katanya, pada masa sama, pihaknya juga berusaha mendapatkan perkembangan lanjut berkaitan situasi berkenaan termasuk bekerjasama dengan Persekutuan Hoki Asia (AHF) bagi mendapatkan penyelesaian terbaik supaya skuad 'The Malaysian Tigress' dapat beraksi dalam kejohanan itu.

"Ekoran faktor perubatan dan kebimbangan mengenai kesihatan semua pihak, arahan yang dikeluarkan sebelum ini iaitu skuad projek khas wanita kebangsaan perlu menjalani proses kuarantin masih dikekalkan.

"Keputusan itu menyaksikan Malaysia tidak akan turun beraksi pada aksi pertama dan kedua, Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia (Wanita) 2021 yang membuka tirai hari ini dengan pasukan negara sepatutnya turun bertemu China untuk aksi pertama dan perlawanan kedua pada 6 Disember bertemu India," katanya.

Sementara itu, AHF menerusi kenyataan berasingan berkata skuad Malaysia tidak dapat beraksi pada 5 dan 6 Dis berikutan isu berkaitan Covid-19.

"AHF kesal dengan keadaan malang yang timbul, sebahagian besarnya disebabkan oleh perubahan ketara dan terkini dalam protokol Covid-19 tempatan dan Korea Selatan, berdasarkan bilangan kes baharu yang tinggi dalam negara dan wilayah serta kemunculan varian baharu Omicron.

"AHF dan Persatuan Hoki Korea Selatan melakukan yang terbaik untuk membolehkan pasukan wanita Malaysia kembali menyertai kejohanan itu. Ia adalah keutamaan kami untuk membenarkan atlet dan petugas pasukan yang sudah berlatih, bersiap sedia dan mengembara untuk menyertai acara besar ini," katanya.

Mengikut rekod, pasukan negara sepatutnya menentang China hari ini, manakala esoknya pula berhadapan India pada makanala Jepun (8 Disember), tuan rumah Korea Selatan (9 Disember) dan Thailand (11 Disember) pada kejohanan enam penjuru itu.

Pencapaian terbaik skuad negara adalah kedudukan pingat gangsa pada edisi 2013, manakala dalam edisi lepas pada 2018, skuad 'The Malaysian Tigress' itu meraih tempat keempat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Disember 2021 @ 8:07 PM