PEMAIN TLHT, Qasidah Najwa Muhamad Halimi (kiri) cuba melepasi pemain Negeri Sembilan pada aksi Liga Hoki Wanita Malaysia di Stadium Hoki Batu Buruk, sebentar tadi. FOTO TLHT
PEMAIN TLHT, Qasidah Najwa Muhamad Halimi (kiri) cuba melepasi pemain Negeri Sembilan pada aksi Liga Hoki Wanita Malaysia di Stadium Hoki Batu Buruk, sebentar tadi. FOTO TLHT
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Pemain Negeri Sembilan membuktikan mereka lebih hebat daripada Pasukan Hoki Wanita Terengganu (TLHT) selepas membelasah skuad itu 5-1 pada aksi pusingan kedua Liga Hoki Wanita Malaysia (LHWM) di Stadium Hoki Batu Buruk (SHBB), sebentar tadi.

Pada aksi pusingan pertama di Stadium Hoki Seremban 2, skuad kendalian TLHT, Mohd Shahrun Nabil Abdullah dan lawan, K Rajan itu sama liat selepas terikat 3-3.

Pada perlawanan petang ini, kedua-dua pasukan bermula garang dengan masing-masing mengatur gerakan lebih awal untuk memburu jaringan, namun kekebalan pertahanan menyebabkan jaringan yang dicari tidak menjelma.

Bagaimanapun pada minit ke-9, tuah lebih memihak kepada pelawat apabila berjaya membuka tirai jaringan menerusi pukulan kencang pemain kebangsaan, Nuramirah Shakirah Zulkifli untuk pasukannya mendahului 1-0.

Selepas gol itu, pelawat kian bernafsu untuk menambah jaringan dengan kerap mengasak kubu tuan rumah, hasilnya pada minit ke-12, pemain meningkatkan naik, Fatin Naimah Zaki mudah menolak masuk untuk gol kedua pasukannya menjadikan kedudukan 2-0.

Pada minit ke-30, pakar pukulan sudut penalti kebangsaan, Nuraini Abdul Rashid berjaya mencetak namanya sebagai penjaring apabila berjaya meledak gol ketiga pasukannya menerusi pukulan sudut penalti yang gagal ditolak bekas penjaga gol kebangsaan, Mas Huzaimah MD Aziz untuk pasukannya mendahului 3-0.

Ketinggalan tiga gol tidak mematahkan semangat pemain tuan rumah untuk memburu jaringan dengan kerap 'berkampung' di kawasan pelawat, hasilnya pada minit ke- 40, TLHT dihadiahkan pukulan penalti dan tolakan yang diambil Fazilla Sylvester Silin berjaya merapatkan kedudukan 3-1.

Pelawat yang sesekali mengasak ke kubu tuan rumah selepas selesa dengan kedudukan berkenaan, berjaya menambah jaringan keempat sekali lagi menerusi Fatin Naimah pada minit ke-44 menerusi gol padang.

Ketika perlawanan berbaki dua minit sebelum ditamatkan, penyerang, Nuramirah Shakirah menambah derita tuan rumah apabila meledak jaringan kelima menerusi pukulan kencang untuk menjadikan kedudukan muktamad 5-1 memihak kepada Negeri Sembilan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Februari 2023 @ 7:30 PM