RAJAN (kanan) bersama skuad Negeri Sembilan yang berjaya menjulang trofi Piala Sumbangsih. FOTO Aswadi Alias
RAJAN (kanan) bersama skuad Negeri Sembilan yang berjaya menjulang trofi Piala Sumbangsih. FOTO Aswadi Alias
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: "Dia tidak rasis" tegas pengendali skuad wanita Negeri Sembilan, K Rajan selepas anak buahnya, Hanis Nadiah Onn digantung daripada menyertai perlawanan antarabangsa selepas mengeluarkan komen berbaur perkauman di media sosial.

Menurut Rajan, sebenarnya tidak ada isu dengan apa yang penyerang kebangsaan itu perkatakan bulan lalu sehingga menyebabkan dia dijatuhkan hukuman penggantungan peringkat antarabangsa.

"Saya orang India, saya yang akan terasa hati terlebih dahulu, tapi dia (Hanis Nadiah Onn) tidak rasis," katanya selepas pasukan bimbingannya menjulang trofi Piala Sumbangsih menumpaskan KPT-Uniten Thunder menerusi penentuan penalti shoot out 2-1.

Hanis Nadiah, 27, membuat komen berbaur perkauman 'bau best la kat dalam tu' di media sosial ketika konsert artis dari India, AR Rahman di Stadium Nasional Bukit Jalil bulan lalu.

"Tiada isu, boleh dianggap dia melakukan kesilapan menggunakan perkataan tapi bukannya dia cakap perkataan 'keling' ke apa.

"Sudah lama saya mengenali Hanis sudah lama sejak dia bersama pasukan kebangsaan hampir satu dekad. Dia bermain untuk Negeri Sembilan dalam saingan liga musim lalu membantu kami muncul juara," kata Rajan.

Ujarnya isu berkenaan tidak patut dipanjangkan lagi kerana Hanis juga sudah dikenakan hukuman gantung daripada mewakili pasukan kebangsaan.

"Ini adalah pengajaran buat Hanis dan juga atlet lain supaya lebih berhati-hati membuat kenyataan di laman media sosial," katanya.

Hanis mula mewakili pasukan kebangsaan sejak 2014 dan beraksi sebanyak 84 kali di peringkat antarabangsa dengan rekod 36 jaringan gol.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Februari 2023 @ 11:40 AM