HANIS mahu beri tumpuan aksi Liga Hoki Wanita bersama Negeri Sembilan. FOTO Aswadi Alias
HANIS mahu beri tumpuan aksi Liga Hoki Wanita bersama Negeri Sembilan. FOTO Aswadi Alias
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: "Saya terima dengan hati terbuka" jelas pemain hoki wanita negara Hanis Nadiah Onn selepas dikenakan hukuman penggantungan aksi antarabangsa selepas didapati bersalah mengeluarkan komen berbaur perkauman di media sosial.

Menurut pemain berusia 27 tahun itu, dia berjanji tidak akan mengulangi lagi kesilapan sedemikian dan menasihatkan semua atlet lain juga berhati-hati dalam mengeluarkan komen di media sosial.

"Sekarang saya akan fokus kepada aksi liga (Liga Hoki Wanita Malaysia). Segala masalah saya akan letak tepi kerana mahu rebut tiga piala (bersama Negeri Sembilan). Setakat ini sudah dapat satu," katanya selepas membantu Negeri Sembilan menjulang trofi Piala Sumbangsih semalam.

Hanis bakal terlepas beberapa aksi antarabangsa termasuk tidak dapat bersama skuad wanita di Sukan Sea Kemboja Mei depan.

Semalam dia turun beraksi ketika dalam aksi sulung liga musim ini yang juga merebut trofi Piala Sumbangsih mengatasi KPT-Uniten Thunder 2-1 menerusi penentuan penalti shoot-out.

Pemain kelahiran Johor itu didapati bersalah oleh Jawatankuasa Siasatan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) yang dipengerusikan bersama Presiden MHC Datuk Seri Subahan Kamal dan Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail pada 7 Februari lalu.

Dia didapati bersalah membuat komen berbaur perkauman pada sebuah konsert 28 Januari lalu, sehingga menimbulkan salah faham, kegusaran ataupun kemarahan sesetengah pihak.

"Perkara yang berlaku ini langsung saya tidak menjangkakannya dan saya menerima apa juga orang kata terhadap saya. Saya sedar, sebagai atlet, saya juga ada batasnya.

"Saya perlu fokus kepada saingan liga dan satu trofi sudah kami miliki, jadi komitmen saya amat dituntut kelab untuk memburu dua lagi trofi.

"Mengenai soal mewakili pasukan kebangsaan, saya tidak mahu memikirkannya sangat, yang penting saya terus pamerkan prestasi terbaik dan jika jurulatih anggap saya masih releven di masa akan datang, dan mahu menyenaraikan saya, saya akan sedia mewakili pasukan kebangsaan."

Hanis mula mewakili pasukan kebangsaan pada 2014 berjaya menjaringkan 36 gol daripada 84 penampilan peringkat antarabangsa.

Dia berada dalam skuad yang membawa pulang pingat emas Sukan Sea 2015 dan 2017, membantu pasukan muncul juara Liga Hoki Dunia (Pusingan Pertama) 2015, naib juara Liga Hoki Dunia (Pusingan Kedua) 2017) dan juara FIH Siri Terbuka 2018.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Februari 2023 @ 11:34 AM