AKSI pemain Malaysia, Siti Nur Irdina Mohd Nor ketika bertemu Thailand. FOTO REUTERS
AKSI pemain Malaysia, Siti Nur Irdina Mohd Nor ketika bertemu Thailand. FOTO REUTERS
Aida Adilah Mat


Hangzhou: Pasukan hoki wanita negara menamatkan cabaran di temasya Sukan Asia Hangzhou di kedudukan kelima selepas menewaskan Thailand 2-1 di Stadium Gongshu Canal Sports Park.

Kemenangan itu menyaksikan mereka berjaya mencapai sasaran yang diletakkan oleh Konfederasi Hoki Malaysia (MHC).

Bagi jurulatih pasukan negara, Nasihin Nubli Ibrahim, beliau bersyukur kerana dapat meraih kemenangan terakhir yang sangat diperlukan.

"Memang kami sudah jangka Thailand akan beri saingan yang hebat apabila mendapat gol pertama.

"Saya berpuas hati dengan pemain senior seperti Nuraini (Abdul Rashid), Raja Nursharina IRaja Shabuddin), Juliani (Mohamad Din), Hanis (Nadiah Onn) kerana mereka dapat beri persembahan terbaik dibantu dengan pemain mudah," katanya.

Nasihin berkata, ia adalah satu pengalaman yang berharga yang patut diteruskan bagi membantu perkembangan pemain muda negara dengan mendedahkan mereka ke kejohanan besar seperti ini.

Kemenangan itu tidak hadir dengan mudah apabila pintu gol negara terlebih dahulu dicerobohi pada minit ketujuh perlawanan apabila Kunjira Inpa menjaringkan gol padang untuk Thailand mendahului 0-1.

Hanis Nadiah Onn bangkit meledak gol penyamaan menerusi pukulan sudut penalti dengan suku pertama berakhir 1-1.

Kedudukan itu kekal sehingga tamat suku ketiga, namun pada suku keempat, pasukan negara mula menguasai perlawanan dan akhirnya gol kemenangan hadir menerusi jaringan sudut penalti Nuraini Abdul Rashid pada minit ke-56, sekali gus mengesahkan kemenangan.

Pencapaian skuad wanita ini boleh dianggap baik berikutan pasukan kali ini rata-rata dibarisi pemain muda.

Pada aksi di temasya kali ini, skuad negara diletakkan dalam kumpulan A bersama-sama India, Korea Selatan, Singapura dan Hong Kong dengan dua kemenangan dan dua tewas,

Malaysia menang ke ke atas Hong Kong 8-0 dan Singapura 8-1 namun tewas kepada India (0-6) dan Korea Selatan (0-5).

Pencapaian terbaik skuad wanita di Sukan Asia adalah pada edisi 1982 di India, ketika meraih pingat gangsa, sebelum menamatkan saingan di kedudukan keempat pada temasya Seoul, 1986.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Oktober 2023 @ 6:02 PM