SKUAD hoki negara sudah tiba di India. FOTO MHC
SKUAD hoki negara sudah tiba di India. FOTO MHC
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Berdepan dengan pasukan gergasi pada aksi sulung Piala Dunia 2023 tidak menggentarkan jurulatih skuad hoki negara Arul Selvaraj sebaliknya beliau yakin anak buahnya mampu melakar kejutan.

Skuad hoki negara akan membuka tirai kempen Piala Dunia di Bhubaneswar-Rourkela, India menentang pasukan ranking ketiga dunia yang juga juara tiga kali, Belanda pada 14 Januari ini.

"Kalau kita tengok berdasarkan rekod dalam Piala Dunia bola sepak, sentiasa ada kejutan yang berlaku dalam perlawanan pertama.

"Biarpun Belanda berada dalam kelompok tiga terbaik dunia, tetapi saya percaya tidak mudah untuk mereka sebagai pasukan bermain dalam perlawanan pertama. Ini kerana, suasana, tekanan dan harapan yang diletakkan dalam saingan Piala Dunia adalah berbeza. Jadi, saya percaya peluang untuk pasukan kita tetap ada," katanya.

Skuad negara selamat tiba di India, semalam dan dijadual mengadakan aksi persahabatan menentang Sepanyol pada Rabu ini sebagai aksi pemanas badan terakhir sebelum memulakan kempen pada Piala Dunia kali ini.

Selepas aksi bertemu Belanda di Stadium Hoki Birsa Munda, Rourkela dalam perlawanan pertama Kumpulan C, Malaysian Tigers akan berdepan Chile di stadium sama dua hari kemudian sebelum menentang New Zealand di Bhubaneswar pada 19 Januari.

"Berdasarkan sesi latihan terakhir kami, semua pemain berada pada tahap terbaik mereka baik dari segi fizikal dan mental. Mereka sudah bersedia untuk memulakan saingan pada Piala Dunia kali ini," katanya.

Pencapaian terbaik Malaysia di Piala Dunia adalah mengakhiri saingan di kedudukan keempat di laman sendiri pada edisi 1975 manakala edisi terakhir empat tahun lalu yang turut berlangsung di India menyaksikan skuad negara sekadar di kedudukan ke-15.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 January 2023 @ 1:18 PM