PEMAIN hoki negara menjalani latihan sebelum memulakan kempen di Piala Dunia. FOTO ASYRAF HAMZAH
PEMAIN hoki negara menjalani latihan sebelum memulakan kempen di Piala Dunia. FOTO ASYRAF HAMZAH
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Skuad hoki negara diminta agar tidak terlampau menghormati Belanda pada aksi pembukaan Kumpulan C Piala Dunia 2023 di Stadium Antarabangsa Birsa Munda, Rourkela, India, Sabtu ini.

Jurulatih penjaga gol negara, S Kumar yang pernah berhadapan situasi sama pada edisi 2018 berkata, pemain perlu menunjukkan aksi terbaik dalam misi meraih keputusan positif.

"Pada Piala Dunia 2018 di India, aksi pertama kita lawan Belanda dan pada edisi kali ini, akan berdepan Belanda. Jadi kita kena beri yang terbaik kerana keputusan aksi pertama sangat penting.

"Bila main dengan Belanda, kita mula rasa lemah... tak boleh macam itu, mental perlu kuat. Kalau mental sudah lemah pada aksi pertama ia akan mengundang padah pada perlawanan seterusnya.

"Tidak kisah kalah atau menang, yang penting mereka kena beri aksi terbaik sebagai pembakar semangat perlawanan seterusnya.

"Jadi saya harap pengalaman menentang Belanda pada Piala Dunia 2018 boleh dijadikan pengajaran," katanya.

Pada kempen Piala Dunia 2018, Malaysia bermula dengan langkah kiri apabila mengalami kekalahan besar 0-7 kepada Belanda dalam saingan pembuka tirai Kumpulan D di Bhubaneswar, India.

Skuad negara dijadual bertemu Sepanyol pada perlawanan persahabatan, hari ini, sebelum turun menentang Belanda yang juga pasukan di ranking ketiga dunia untuk aksi pertama Kumpulan C di Stadium Hoki Birsa Munda Rourkela, Sabtu ini.

Malaysia diundi dalam Kumpulan C bersama Belanda, Chile dan New Zealand dengan skuad bimbingan A Arul Selvaraj diletakkan harapan awal untuk melepasi saingan peringkat kumpulan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 January 2023 @ 6:19 PM