AKSI pemain negara (jersi kuning) ketika menentang Great Britain di kejohanan Piala Sultan Johor, baru-baru ini. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
AKSI pemain negara (jersi kuning) ketika menentang Great Britain di kejohanan Piala Sultan Johor, baru-baru ini. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Ketua jurulatih skuad hoki remaja lelaki negara, Muhamad Amin Rahim percaya dapat membentuk pasukan lebih mantap bagi menghadapi Piala Dunia Remaja pada tahun depan selepas mengharungi kempen suram di Piala Sultan Johor, minggu lalu.

Skuad negara menamatkan kejohanan jemputan antarabangsa bawah 21 tahun itu yang berlangsung di Johor Bahru di kedudukan keenam atau tercorot, sekali gus mengundang pelbagai kritikan.

Bagaimanapun, Amin berkata, ruang perlu diberikan kepadanya serta barisan pemainnya dalam usaha membentuk pasukan yang mampu memberi saingan terutama di Piala Dunia Remaja yang menyaksikan Malaysia selaku tuan rumah, Disember tahun depan.

"Seperti semua sedia maklum, kami baru sahaja memulakan proses membina pasukan ini dan terdapat banyak kelemahan terutama dari segi fizikal, yang boleh dikatakan menjadi faktor utama kekalahan di Piala Sultan Johor.

"Ini adalah perkara perlu kami tangani dalam fasa persiapan seterusnya untuk Piala Dunia Remaja tahun depan.

"Saya berharap pemain yang dipilih selepas ini bersedia untuk melakukan perubahan dan memberikan komitmen mereka dalam usaha membina pasukan yang lebih kuat untuk tugasan besar itu.

"Apapun saya dapat melihat peningkatan yang bagus oleh pasukan dalam tiga perlawanan terakhir di Piala Sultan Johor," katanya.

Jelas Amin, beliau memberi tempoh rehat selama dua minggu kepada barisan pemainnya sebelum dipanggil semula untuk meneruskan latihan.

Menurutnya, beliau kemudian akan memilih pemain yang akan berada dalam skuad untuk Piala Dunia Remaja sebelum cuba memperbaiki aspek persiapan fizikal, taktikal dan perkara penting lain dalam persediaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 November 2022 @ 7:53 PM