MALAYSIA perlu menang atasi New Zealand. -FOTO Aizuddin Saad
MALAYSIA perlu menang atasi New Zealand. -FOTO Aizuddin Saad
Oleh Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Selepas terlepas dua sasaran, pengendali skuad hoki remaja negara, Muhamad Amin Rahim tidak mahu melihat anak buahnya terlepas sasaran terakhir iaitu menamatkan kempen Piala Dunia Remaja di kedudukan ke-11 apabila bertemu New Zealand pada penentuan tempat ke-11/12, esok.

Amin sebelum ini menyaksikan barisan pemainnya terlepas sasaran ke suku akhir apabila gagal menduduki kelompok dua teratas peringkat Kumpulan A sebelum beliau mencabar mereka untuk menamatkan saingan di tempat kesembilan iaitu kedudukan paling baik bagi saingan klasifikasi.

Bagaimanapun skuad negara terlepas peluang itu apabila tewas menerusi penalti shoot-out 3-5 kepada Belgium selepas terikat 2-2 pada masa sebenar aksi klasifikasi ke-9 hingga 12, semalam.

"Kita gagal memenuhi sasaran utama untuk layak ke suku akhir, kemudian kita mahu habiskan kempen di Piala Dunia dengan kedudukan terbaik tempat kesembilan, juga gagal. Jadi sekarang kedudukan paling terbaik yang boleh kita raih adalah tempat ke-11.

"Jadi kita akan keluar memberikan segala-galanya Jumaat ini (esok) dengan misi hanya untuk menang bagi membolehkan kita mencapai sasaran itu," katanya.

Mengenai New Zealand yang bakal ditemui esok, Amin berkata, rekod pertemuan pada perlawanan terakhir di Piala Sultan Johor, Oktober lalu sememangnya memihak kepada lawan mereka itu.

"Saya tak mahu terlalu memikirkan soal lawan kami kerana apa yang lebih dirisaukan adalah pasukan saya sendiri. Jika pemain melakukan tugas mereka dengan betul, saya rasa kita boleh atasi mana-mana pasukan sepertimana yang dibuktikan pemain apabila bertemu Belgium.

"Sudah pasti barisan kejurulatih akan duduk dan lihat perlawanan membabitkan New Zealand yang pernah kita temui di Piala Sultan Johor lalu untuk melihat perbezaan corak permainan mereka.

"Daripada situ, kita akan mencari formula berbeza untuk keluar mendapatkan kemenangan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Disember 2023 @ 12:35 PM