AKSI pemain remaja negara, Shahmie Irfan Suhaimi cuba melepasi kawalan  pemain Pakistan di Kejohanan Hoki Antarabangsa Piala Sultan Johor (SOJC).
AKSI pemain remaja negara, Shahmie Irfan Suhaimi cuba melepasi kawalan pemain Pakistan di Kejohanan Hoki Antarabangsa Piala Sultan Johor (SOJC).
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Ketika ramai cemas melihat prestasi skuad hoki remaja negara menjelang Piala Dunia Remaja bermula 5 Disember depan, pengurus pasukan, I Vikneswaran menegaskan pasukan kebangsaan kini berada dalam situasi tenang.

Jelasnya, skuad Young Tigers bimbingan Muhamad Amin Rahim menerima segala kritikan secara positif terutamanya selepas aksi hambar di Piala Sultan Johor, bulan lalu.

"Saya rasa kita kena terima setiap kritikan. Adalah amat penting untuk kita ambil segala kritikan itu untuk terus memandang ke hadapan. Jika kita ambil kritikan secara negatif, bagaimana pasukan hendak membangun.

"Kami akui ada kritikan yang mempunyai asasnya seperti kelemahan dari sudut pukulan sudut penalti dan sebagainya. Jadi pemain perlu memperbaikinya.

"Memang dari sudut persepsi, ramai yang cemas. Mereka mungkin kata boleh ke pasukan ini bersaing di Piala Dunia? Tapi apa yang boleh saya katakan ialah kami hanya mempunyai baki 22 hari saja lagi dan kami hanya fokus kepada apa yang boleh dikawal.

"Kami kekal fokus supaya dapat memberikan yang terbaik pada Piala Dunia nanti," katanya ketika dihubungi.

Vikneswaran menambah, kem bina semangat selama tiga hari baru-baru ini yang disertai semua pemain sangat penting untuk meningkatkan semula motivasi mereka.

"Kami cuba mendapatkan maklum balas daripada setiap pemain apa yang perlu diperbaiki sebelum bermulanya Piala Dunia Remaja," katanya.

Pada edisi ke-11 Piala Sultan Johor yang dilabel mini Piala Dunia Remaja awal bulan ini, skuad negara sekadar menamatkan saingan di tempat ketujuh daripada lapan pasukan bertanding.

Skuad negara tewas dalam empat perlawanan iaitu 2-3 ketika menentang New Zealand, India (1-3), Pakistan (2-3) dan Britain (4-7) tetapi mujur meraih kemenangan ke atas Afrika Selatan 3-2 dalam aksi penentuan tempat ketujuh dan kelapan.

Sebanyak 16 pasukan akan beraksi pada saingan Piala Dunia Remaja di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil dengan skuad negara diletakkan dalam Kumpulan A bersama juara bertahan, Argentina dan bekas juara, Australia serta Chile.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 November 2023 @ 3:57 PM