SKUAD negara bergambar sebelum perlawanan. FOTO AHF/Hockey India
SKUAD negara bergambar sebelum perlawanan. FOTO AHF/Hockey India
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Skuad hoki wanita negara bermula langkah kiri pada aksi pertama liga sepusingan kejohanan Trofi Juara-Juara Asia selepas tumbang 0-3 kepada Jepun, hari ini.

Ketua jurulatih skuad negara, Mohd Nasihin Nubli Ibrahim berkata, beliau serta barisan pemain sememangnya sudah menjangkakan aksi getir bertemu pasukan yang sering beraksi di Piala Dunia dan Olimpik itu di Stadium Hoki Astroturf Marang Gomke Jaipal Singh.

Untuk itu, beliau menggesa anak buahnya bangkit semula apabila bertemu pasukan tuan rumah, India, esok.

"Saya rasa perlu ada peningkatan daripada pemain terutama sekali mengenai tahap keyakinan. Mereka nampak sangat gementar tetapi kembali memperoleh keyakinan semula sepanjang perlawanan.

"Jadi saya amat mengharapkan barisan pemain muda dapat tingkatkan prestasi untuk perlawanan seterusnya bertemu pasukan tuan rumah. Kita dapat mengekang Jepun ketika bertahan untuk pukulan sudut penalti.

"Untuk pertemuan dengan India, kami perlu melakukan perancangan lebih teliti kerana mereka berada di ranking terbaik Asia dan beraksi di tempat sendiri," katanya.

Pada perlawanan hari ini, skuad negara ketinggalan bermula minit ke-13 selepas Rika Ogawa berjaya menyempurnakan pukulan sudut penalti.

Skuad negara dapat mengimbangi perlawanan selepas itu namun gawang Malaysia bolos lagi minit ke-43 menerusi gol padang Mai Toriyama sebelum Shiho Kobayakawa melengkapkan kemenangan Jepun apabila menyempurnakan pukulan sudut penalti minit ke-54.

Malaysian Tigress akan turun pada perlawanan kedua bertemu India jam 11 malam esok.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Oktober 2023 @ 9:33 PM