REEZAL Merican (dua dari kiri) harap saingan MHL terus berlangsung dengan baik. FOTO MOHD YUSNI ARIFFIN
REEZAL Merican (dua dari kiri) harap saingan MHL terus berlangsung dengan baik. FOTO MOHD YUSNI ARIFFIN
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Langkah Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) menerapkan konsep gelembung sukan pada saingan Liga Hoki Malaysia (MHL) musim ini mendapat pujian Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Jelas Reezal, hakikatnya bukan mudah untuk badan induk seperti MHC menganjurkan MHL menerusi konsep sedemikian kerana ia membabitkan jumlah penyertaan cukup ramai yang dikumpulkan di sebuah hotel.

"Bukan mudah untuk mengumpulkan seramai 495 orang di sebuah hotel untuk segala perjalanan gelembung sukan ini tidak akan berlaku sebarang bentuk pelanggaran (peraturan).

"Saya harap dalam tempoh berbaki dua minggu lagi sebelum berakhirnya aksi liga pada 3 April, segala-galanya dapat berlangsung dengan baik.

"Apabila saya turun melakukan pemantauan, bukan hanya soal pematuhan dijaga, tetapi ada juga SOP (prosedur operasi standard) kecil dibuat dalam SOP mereka.

"MHC bukan saja mengikut dan patuh kepada SOP ditetapkan tetapi mereka komited memastikan konsep gelembung sukan berlangsung dengan baik," katanya.

Sementara itu, Reezal mahu MHC memberikan penerangan terperinci berhubung Program Pembangunan Hoki Kebangsaan (NHDP) selepas melancarkan logo program itu semalam.

NHDP adalah penjenamaan program pembangunan yang mensasarkan untuk mencari pemain hoki berbakat di seluruh negara dengan membabitkan 50 pusat bagi kategori lelaki dan 20 pusat untuk kategori wanita.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Mac 2021 @ 12:32 AM