Bekas jurulatih Singapura, K Rajan dilantik bimbing skuad THT. FOTO Ihsan New Paper.
Bekas jurulatih Singapura, K Rajan dilantik bimbing skuad THT. FOTO Ihsan New Paper.
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Bekas pengendali skuad hoki Singapura, K Rajan dilantik sebagai ketua jurulatih Pasukan Hoki Terengganu (THT) dalam usaha skuad itu mempersiapkan pasukan menjelang Liga Hoki Malaysia (MHL) musim depan.

Pelantikan Rajan selama semusim semalam adalah bagi menggantikan jurulatih tahun ini, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah yang kini menjawat jawatan pengarah teknikal bersama Persatuan Hoki Jawa Barat, Indonesia.

Pemangku Presiden Persatuan Hoki Negeri Terengganu (PHNT), Mohd Fikri Harun berkata, pemilihan Rajan adalah tepat kerana jurulatih itu mempunyai corak latihan sebagaimana falsafah hoki Terengganu.

Mohd Fikri berkata, selain membimbing pasukan, Rajan juga bakal diberi peranan untuk membantu jurulatih muda negeri bagi memantapkan lagi ilmu mereka dalam bidang kejurulatihan kerana beliau mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang itu.

"Selain Rajan, sebelum ini ada beberapa nama jurulatih dalam senarai pendek persatuan, tapi selepas dinilai kita pilih beliau kerana mempunyai falsafah hoki hampir sama dengan kita (Terengganu) selain berpengalaman luas dalam bidang kejurulatihan di Malaysia dan luar negara.

"Jadi kita memikirkan pelantikan Rajan adalah tepat dan sesuai berdasarkan kriteria yang ada bagi memacu pasukan meraih kejayaan yang membanggakan dalam kejohanan berprestij itu musim depan," katanya.

Sepanjang kariernya sebagai jurulatih, anak kelahiran Perak itu pernah membimbing pasukan negara ke Piala Dunia Remaja pada 2009 selain menjadi pengendali pasukan Tenaga Nasional Berhad (TNB) selama 12 musim dan terakhir membimbing pasukan Singapura bermula Ogos 2016.

Mengulas lanjut, Mohd Fikri meletakkan harapan yang tinggi kepada jurulatih itu untuk memperbaiki rekod pencapaian musim ini iaitu sekadar ketiga liga dan masing-masing naib juara Piala TNB serta Piala Sumbangsih.

"Mana-mana pasukan sudah tentu meletakkan sasaran masing-masing begitu juga dengan THT, jadi kita sasarkan sekurang-kurangnya satu trofi musim depan bagi memperbaiki pencapaian musim ini," katanya yang mengharapkan impian itu menjadi kenyataan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Disember 2020 @ 1:01 PM