THT sering menggunakan tonggak import sebelum ini. FOTO Owee Ah Chun
THT sering menggunakan tonggak import sebelum ini. FOTO Owee Ah Chun
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Pasukan Hoki Terengganu (THT) mengesahkan tidak akan menggunakan khidmat pemain import bagi menghadapi saingan Liga Hoki Malaysia (MHL) musim ini.

Pemangku Presiden Persatuan Hoki Negeri Terengganu (PHNT), Mohd Fikri Harun berkata, pengalaman luas yang dimiliki beberapa pemain tempatan menjadi aset terbaik buat skuad bimbingan Roslan Jamaluddin itu untuk mengekalkan kejuaraan Piala TNB selain mengintai peluang merangkul Piala Liga.

Bagaimanapun beliau tidak menafikan ketiadaan tonggak import bakal memberi laluan berliku buat skuad gergasi Pantai Timur itu berdepan skuad lawan.

"Pemain import banyak membantu pasukan sebagaimana liga sebelum ini selain mereka boleh memberi tunjuk ajar kepada pemain muda.

"Jadi ketiadaan mereka sudah pasti memberi impak buat pasukan untuk memburu kejuaraan berganda musim ini.

"Bagaimanapun sejarah sudah terpahat pada musim lalu iaitu tanpa pemain import, begitu juga dengan pasukan lain, kita berjaya merangkul kejuaraan dalam saingan Piala TNB.

"Pada masa sama juga kita boleh mengetengahkan lebih ramai bakat muda untuk merasai kejohanan kompetitif selain mereka boleh bersaing di peringkat lebih tinggi," katanya ketika dihubungi hari ini.

Awal bulan depan, skuad itu akan mengumumkan senarai 22 pemain yang bakal menggalas cabaran pasukan bagi menghadapi kejohanan yang bermula 18 Februari 2022.

Selain pemain adik beradik, Faizal dan Fitri Saari, pemain muda meningkat naik, Mohamad Akhimullah Anuar Esook, Syarman Mat Tee dan Muhammad Abid Sufian Mat Ruslee serta penjaga gol berpengalaman, Muhammad Hafizuddin Othman turut berada dalam senarai pemain skuad itu.

Musim lalu, K Rajan yang membimbing THT berjaya membawa pasukan itu muncul juara Piala TNB dan naib juara Piala Liga.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 January 2022 @ 1:48 PM