RAJAN sedia lanjut kontrak bersama THT musim depan. FOTO Ihsan PHNT
RAJAN sedia lanjut kontrak bersama THT musim depan. FOTO Ihsan PHNT
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Kejayaan Pasukan Hoki Terengganu (THT) muncul juara Piala TNB musim ini membuka pintu buat jurulatih, K Rajan untuk terus membimbing skuad The Turtles itu dalam kancah Liga Hoki Malaysia (MHL) musim depan.

Bekas jurulatih skuad kebangsaan Singapura musim lalu itu bagaimanapun enggan mendahului Persatuan Hoki Negeri Terengganu (PHNT) sebaliknya menyerahkan kepada badan induk itu untuk mengumumkan keputusan berkenaan.

Namun besar harapan jurulatih yang pernah membimbing skuad Tenaga Nasional Berhad (TNB) selama 12 tahun itu untuk terus berbakti di bumi Terengganu musim depan dalam saingan liga berprestij di Malaysia itu.

"Secara lisannya kami sudah memulakan perbincangan dengan PHNT dan ianya berlangsung begitu positif, lagipun selepas meninggalkan arena hoki tempatan sejak empat tahun lalu, saya gembira dapat kembali ke tanah air membantu THT.

"Lebih membanggakan apabila berjaya membantu THT merampas semula Piala TNB yang terlepas musim lalu di tangan pasukan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dalam aksi yang begitu dramatik.

"Namun keputusan muktamad terletak kepada persatuan itu sama ada kontrak dilanjutkan ataupun sebaliknya, tapi buat masa ini saya sudah mendapat 'lampu hijau' untuk melatih pasukan Terengganu dalam saingan Piala Razak," katanya.

Selain muncul juara Piala TNB, jurulatih kelahiran Perak yang pernah membimbing skuad muda kebangsaan ke Piala Dunia Remaja pada 2009 berjaya membantu THT muncul naib juara MHL musim ini.

Sementara itu Pemangku Presiden PHNT, Mohd Fikri Harun menjelaskan hampir pasti mengikat jurulatih itu namun setakat ini belum berbincang secara lebih terperinci.

"Kita belum berbincang secara lebih lanjut dengan beliau (Rajan), tapi secara kasarnya kita bercadang untuk mengekalkannya membimbing THT musim depan.

"Namun belum muktamad lagi, tapi setakat beliau adalah calon utama untuk mengisi posisi berkenaan, lagipun prestasi beliau juga bagus pada tahun ini, dia juga terlibat dengan Piala Razak nanti," katanya kepada Sukan NSTP hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 April 2021 @ 6:20 PM