PEMAIN tengah, Toni Kroos bertepuk tangan ke arah penonton selepas Jerman tewas 0-2 di tangan England di Wembley. - FOTO AFP
PEMAIN tengah, Toni Kroos bertepuk tangan ke arah penonton selepas Jerman tewas 0-2 di tangan England di Wembley. - FOTO AFP
AFP

Berlin: Pemain tengah Real Madrid, Toni Kroos, hari ini mengesahkan dia bersara daripada skuad bola sepak kebangsaan Jerman selepas skuad itu disingkirkan England di Euro 2020.

"Saya sudah bermain 106 kali untuk Jerman. Tidak mungkin ada penampilan lain," katanya menerusi Twitter.

"Saya sudah membuat keputusan untuk bersara selepas kejohanan ini.

"Jelas kini saya tidak akan bersama pasukan ke Piala Dunia 2022 di Qatar."

Jerman tewas 0-2 di tangan England di Wembley, pada Rabu lalu, sekali gus tersingkir daripada kempen Euro 2020.

Kroos berkata, dia merancang untuk memberikan tumpuan penuh kepada Real Madrid, musim depan.

"Saya mahu memberi lebih masa kepada keluarga sebagai suami dan bapa."

Sambil berterima kasih kepada penyokong dan pengkritik, Kroos turut memberikan penghargaan kepada Joachim Loew, yang berundur Selasa lalu selepas 15 tahun mengemudi skuad Jerman.

"Dia menjadikan saya pemain kebangsaan dan juara dunia. Dia percayakan saya dan kami mencipta banyak kejayaan bersama-sama."

Loew kali pertama memberi peluang kepada Kroos pada perlawanan persahabatan dengan Argentina pada 2010. Dia turut bersama skuad di Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan apabila Jerman menduduki tempat ketiga.

Empat tahun berikutnya, dia memikul peranan penting apabila bermain semua perlawanan dan menjaringkan dua gol ketika membelasah tuan rumah, Brazil 7-1 di separuh akhir sebelum Jerman muncul juara dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Julai 2021 @ 9:08 PM