NICLAS Fuellkrug (kanan) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan. FOTO AFP
NICLAS Fuellkrug (kanan) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan. FOTO AFP
AFP

Frankfurt: Tandukan minit ke-84 oleh Niclas Fuellkrug menyaksikan tuan rumah Euro 2024, Jerman menewaskan Belanda 2-1 dalam perlawanan persahabatan di Frankfurt, awal pagi tadi.

Di bawa masuk ketika berbaki 17 minit, penyerang Borussia Dortmund itu menanduk masuk sepakan penjuru Toni Kroos pada minit ke-85, dengan teknologi garisan gol mengesahkan bola sudah melepasi garisan.

Jerman dipaksa bangkit daripada ketinggalan apabila bolos hanya selepas empat minit permainan selepas Joey Veerman mengambil kesempatan daripada kesilapan pertahanan lawan, Maximilian Mittelstaedt untuk meletakkan Belanda di depan.

Mittelstaedt yang hanya tampil kali kedua untuk Jerman, menebus kesilapannya tidak lama kemudian apabila melepaskan rembatan menakjubkan dari luar kotak penalti untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-10.

Kemenangan itu meneruskan peningkatan prestasi Jerman yang melakar kemenangan kedua berturut-turut kurang daripada tiga bulan sebelum menganjurkan Euro 2024.

Kroos yang dipanggil semula ke pasukan Jerman selepas bersara daripada tugasan antarabangsa pada 2021 memberitahu RTL: "Saya yakin kami akan bermain dengan baik."

"Saya bangga dengan pasukan ini. Kami berjaya keluar dari tempoh yang sukar. Kami mempunyai momentum dan kepercayaan kembali, walaupun tidak bermula dengan baik.

"Beberapa bulan yang lalu prestasi kami mungkin jatuh merudum, tetapi itu tidak berlaku sekarang.

"Kami sudah bermain dua perlawanan persahabatan dengan sangat baik. Memalukan jika kami tidak mendapat sebarang mata (di Euro)."

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mac 2024 @ 9:02 AM