PEMAIN tengah Jerman, Tony Kroos (kiri) memeluk jurulatih, Joachim Loew selepas mereka mara ke pusingan kedua Euro 2020 apabila seri dengan Hungary, Rabu lalu.
PEMAIN tengah Jerman, Tony Kroos (kiri) memeluk jurulatih, Joachim Loew selepas mereka mara ke pusingan kedua Euro 2020 apabila seri dengan Hungary, Rabu lalu.
AFP

Berlin: Toni Kroos menyelar kritikan daripada penyokong yang tidak puas hati dengan prestasi skuad Jerman di Euro 2020, sekali pun mereka mara ke pusingan kedua dan akan menentang England.

Keputusan seri 2-2 dalam aksi mendebarkan dengan Hungary, Rabu lalu menyaksikan Jerman mara ke pusingan kedua daripada Kumpulan F bersama-sama juara dunia, Perancis dan juara bertahan, Portugal.

Kroos berkata, ia adalah pencapaian menarik apabila melepasi halangan dan layak daripada kumpulan sukar itu untuk bertemu England di Wembley, Selasa ini.

"Kami gembira kerana layak menerusi kumpulan itu, pada ketika ramai menyangka kami tidak akan melepasinya," kata Kroos.

Dia bingung dengan kritikan apabila mereka berhempas pulas untuk seri dengan Hungary, empat hari selepas Jerman diraikan sebagai pencabar gelaran apabila membelasah Portugal 4-2.

Dia menyifatkan reaksi penyokong itu sebagai bendera kecil yang berubah arah mengikut tiupan angin.

"Selepas menang ke atas Portugal, anda fikir kami adalah juara Eropah, tetapi sekarang kamu merasakan seperti kami tidak layak untuk terus mara."

Jerman dua kali ketinggalan ketika menentang Hungary dan hanya berbaki enam minit sebelum tersingkir, sebelum pemain gantian, Leon Goretzka menjaringkan gol penyamaan.

"Kami tidak bermain dengan sepenuh keyakinan," kata Kroos. "Kami tidak patut menipu diri sendiri. Ia sangat hampir."

Bagaimanapun, dia menyatakan Jerman layak bertemu England untuk merebut tempat ke suku akhir dan menghantar pesanan jelas kepada mereka yang meragui pasukan itu.

"Sama ada anda suka atau tidak, kami mara ke pusingan kalah mati."

Kroos tidak sabar untuk bertemu England memandangkan Jerman menang semua empat perlawanan di pusingan kalah mati di kejohanan utama dan yakin pasukannya akan mara ke suku akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Jun 2021 @ 2:19 AM