KEKENTALAN Oblak mengawal gawang (kiri) bakal diuji penyerang Serbia  Aleksandar Mitrovic malam esok.
KEKENTALAN Oblak mengawal gawang (kiri) bakal diuji penyerang Serbia Aleksandar Mitrovic malam esok.
Reuters

Munich, Jerman: Slovenia semakin yakin menjelang aksi Euro 2024 menentang Serbia malam esok selepas meraih satu mata dalam aksi pertama manakala lawan mereka dihantui kecederaan dan masalah dalaman.

Beraksi kali kedua selepas 24 tahun di Kejohanan Eropah, Slovenia tahu kemenangan akan memberikan mereka kedudukan terbaik menjuarai Kumpulan Group C yang turut mengandungi England dan Denmark.

"Perlawanan kedua sudah pasti lebih mudah. Mata diperoleh memberikan kami keyakinan tambahan," kata pemain tengah Timi Elsnik kepada media Slovenia Dnevnik. "Kami tahu kemenangan ke atas Serbia memberikan kami kelebihan."

Slovenia seri 1-1 dengan Denmark dalam aksi pembukaan mereka Ahad lalu, ketinggalan babak pertama sebelum bangkit menyamakan kedudukan pada lewat permainan.

Pengurus Matjaz Kek dijangka menampilkan barisan sama diketuai kapten dan penjaga gol Jan Oblak yang tampil kali pertama di kejohanan utama.

Beberapa pemain muda juga mengintai peluang mencipta nama termasuk penyerang berusia 20 tahun, Benjamin Sesko yang menjaringkan lima gol pada kempen kelayakan dan rembatannya terkena tiang ketika menentang Denmark.

Namun mood berbeza di kem Serbia susulan kekalahan 0-1 di tangan England yang menyebabkan skuad Dragan Stojkovic terperosok di tangga tercorot kumpulan.

Walaupun tampil bersemangat menentang pasukan pilihan, berita pemain tengah Filip Kostic mengalami kecederaan lutut kiri menjejaskan perancangan Serbia.

Pemain Juventus berusia 31 tahun itu berjalan keluar padang sambil menangis dan digantikan Filip Mladenovic.

Serbia pastinya mahu mengulangi kegarangan mereka dalam usaha mencari gol penyamaan pada babak kedua ketika menentang England.

Penyerang Juventus Dusan Vlahovic bakal menguji pertahanan Slovenia tetapi apa yang membimbangkan ialah laporan kapten Dusan Tadic mengkritik pemilihan pemain selepas Stojkovic hanya memasukkan dia daripada bangku simpanan selepas sejam perlawanan.

Stojkovic menjelaskan membawa masuk Tadic lewat adalah keputusan taktikal dan menafikan suasana suram dalam bilik persalinan Serbia.

"Saya yang membuat keputusan," katanya. "Tiada ruang untuk kontroversi tetapi tiada masalah membabitkan kapten."

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Jun 2024 @ 9:18 AM