Verbic berhak digelar wira Slovenia. FOTO AFP
Verbic berhak digelar wira Slovenia. FOTO AFP
Reuters

Ljubljana: Benjamin Verbic menjaringkan gol kemenangan di hujung perlawanan untuk membolehkan Slovenia layak ke Euro 2024 di Jerman namun lawan mereka, Kazakhstan perlu melalui aksi playoff Mac depan selepas tumpas 1-2.

Slovenia menamatkan saingan sebagai naib juara dalam Kumpulan H di belakang Denmark berdasarkan rekod pertemuan.

Satu-satunya penampilan mereka sebelum ini di Euro ialah pada tahun 2000, manakala aksi terakhir di Piala Dunia pula di Afrika Selatan, 13 tahun lalu.

Kazakhstan memerlukan kemenangan untuk layak kali pertama, tetapi tahu mereka sudah memperoleh tempat playoff sebelum sepak mula berikutan kenaikan mereka ke Liga B bagi saingan Liga Negara-Negara 2024-25.

Slovenia dihadiahkan penalti pada lewat separuh masa pertama selepas tinjauan Video Bantuan Pengadill (VAR) mendapati Yan Vorogovskiy mengasari Petar Stojanovic di dalam kotak.

Benjamin Sesko selesa menyempurnakan sepakan penalti.

Kazakhstan membuat permulaan yang sempurna pada separuh masa kedua apabila Ramazan Orazov menjaringkan gol antarabangsa pertamanya pada minit ke-48, dengan menyambut hantaran lintang Maksim Samorodov.

Jaka Bijol dari Slovenia melakukan rembatan yang diselamatkan di atas garisan oleh Islambek Kuat, tetapi pasukan tuan rumah mendapat kemenangan ketika berbaki empat minit apabila Verbic melakukan rembatan lencong menuju ke sudut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 November 2023 @ 10:21 AM