BIDOGLIO (tengah) bercakap pada sidang media, hari ini. FOTO AZLAN HADI ABU BAKAR
BIDOGLIO (tengah) bercakap pada sidang media, hari ini. FOTO AZLAN HADI ABU BAKAR
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Johor Darul Ta'zim (JDT) melaungkan amaran mereka sememangnya 'dahagakan' kemenangan dengan sasaran seterusnya menambah Piala Malaysia sebagai koleksi pada musim ini.

Jurulatih JDT, Hector Bidoglio berkata, sebagai pengendali pasukan yang menjuarai Liga Super dan Piala FA, beliau tidak pernah berasa puas hati dengan kejayaan dikecapi, sekali gus mahukan Piala Malaysia untuk melengkapkan kemenangan pasukannya.

Beliau berkata, walaupun final menentang Selangor FC esok bukanlah mudah, beliau yakin dengan kemampuan barisan anak buahnya untuk menjulang piala terbabit.

Katanya, barisan anak buahnya ketika ini berada pada tahap terbaik dengan pemain utama tidak berhadapan masalah kecederaan selain turut bebas daripada penggantungan perlawanan.

"Aksi final bukanlah mudah kerana masing-masing sudah pastinya akan mempamerkan aksi terbaik untuk memenangi perlawanan itu. Namun, kami tetap gembira kerana sekali lagi beraksi di pentas final.

"Seperti sedia maklum, pertemuan JDT dan Selangor sememangnya menyajikan perlawanan menarik dan sengit, sekali gus pemain tidak boleh melakukan kesilapan kerana sudah pastinya akan dihukum pasukan lawan.

"Apa yang pasti adalah memenangi empat piala pada musim ini adalah penting untuk 'bos', pemain dan staf pasukan. Ia adalah tanggungjawab saya memastikan kemenangan berpihak kepada JDT," katanya pada sidang media Pra Piala Malaysia 2022 di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), hari ini.

Selain itu, jurulatih berasal dari Argentina itu berkata, kekuatan Selangor adalah di barisan pertahanan dan serangan balas, sekali gus mengharapkan anak buahnya lebih berhati-hati terhadap taktikal lawannya itu.

"Saya lihat pertahanan Selangor kental dan situasi bola mati memberi kelebihan kepada mereka untuk memenangi perlawanan.

"Jadinya, jika kami mampu mengatasi kelebihan Selangor itu sudah pastinya boleh menjaringkan gol dan memenangi perlawanan malam esok," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 November 2022 @ 5:27 PM