ENDRICK menjalani sesi latihan bersama skuad Brazil menjelang perlawanan menentang Costa Rica. -FOTO AFP
ENDRICK menjalani sesi latihan bersama skuad Brazil menjelang perlawanan menentang Costa Rica. -FOTO AFP
Reuters

Arlington: Bintang bola sepak Brazil, Endrick berharap dapat membuat penampilan pertamanya bersama pasukan kebangsaan di kejohanan utama apabila negaranya bertemu dengan Costa Rica dalam perlawanan pembukaan Copa America Isnin ini.

Penyerang berusia 17 tahun itu, yang menyertai Real Madrid dari Palmeiras, sedar bahawa masih banyak perjalanan yang perlu dilalui untuk menyertai barisan utama Brazil yang mempunyai pemain seperti Raphinha, Vinicius Jr, dan Rodrygo di bahagian serangan.

"Hanya tuhan yang tahu (bila saya mula bermain). Saya sangat bersyukur kerana memiliki Abel (Ferreira) sebagai jurulatih, beliau tahu bila saya perlu bermain.

"Segalanya bergantung kepada tuhan dan Dorival Jr. Beliau adalah jurulatih yang hebat. Beliau sedang melakukan yang terbaik untuk pasukan Brazil," kata Endrick.

Endrick, pada Mac lalu menjadi pemain termuda yang mencipta gol dalam perlawanan antarabangsa di Wembley apabila memberikan kemenangan 1-0 kepada Brazil menentang England, menunjukkan prestasinya terbaik dalam perlawanan persediaan Copa America.

Dia turut menjaringkan gol ketika Brazil meraih kemenangan 3-2 menentang Mexico, serta menjaringkan gol menentang Sepanyol.

Pemain serba boleh itu mengatakan bahawa walaupun dia masih muda, tidak ada tekanan di padang kerana keyakinan yang dimiliki apabila berdepan lawan.

"Saya sentiasa matang dalam kehidupan saya dan lebih menjadi profesional, saya bermain menentang lawan yang selalu mencabar, menghina saya dan berbicara tentang keluarga saya.

"Saya cuba tenang dan saya berharap dapat membantu, saya rasa dalam bola sepak kita perlu mengganggu permainan pemain lain. Saya sudah menyesuaikan diri dan saya sangat yakin bahawa saya boleh membantu pasukan," katanya.

Brazil juga akan bertemu Paraguay dan Colombia dalam Kumpulan D.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Jun 2024 @ 11:37 AM